Oleh Sim Y.H, Salawati Haji Yahya, Daniel Lim, Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Kebajikan anak-anak yatim di negara ini terus diberi perhatian dengan pelbagai bantuan bagi meringankan bebanan mereka lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Sehubungan itu, seramai 91 orang anak yatim hari ini telah menerima sumbangan yang disampaikan secara pandu lalu di beberapa buah tempat di keempat-empat daerah di seluruh negara.
Di Daerah Brunei dan Muara, seramai 65 orang anak yatim menerima sumbangan derma anak-anak yatim Kementerian kesihatan yang diadakan secara pandu lalu di dua buah tempat iaitu di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Hadir menyampaikan sumbangan yang diadakan Dewan Al-‘Afiah, ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jafar.
Sementara di Hospital RIPAS pula disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Pengiran Doktor Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail yang turut dihadiri oleh pengarah-pengarah berserta pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS.




Majlis itu didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Guru Agama Unit Keugamaan Hospital RIPAS, Awang Muhammad Khaironisa bin Haji Mohd Zainin, diikuti dengan majlis penyampaian sumbangan kepada penerima.
Sementara di Daerah Tutong, sumbangan seumpamanya berlangsung di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, di mana 11 orang anak yatim menerima sumbangan derma mereka yang disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.
Di Daerah Temburong pula, majlis berlangsung di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, di mana seramai lima orang anak yatim menerima sumbangan mereka yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.
Manakala di Daerah Belait, seramai 10 orang anak yatim menerima sumbangan mereka di Hospital Suri Seri Begawan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Awang Borhan bin Haji Hamdan serta pegawai-pegawai perubatan dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan dan hospital.





