Thursday, September 29, 2022
22.6 C
Brunei

Kebajikan anak yatim terus dipeduli

-

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi, Daniel Lim, Salawati Haji Yahya & Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Kesejahteraan anak-anak yatim di negara ini terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak, lebih-lebih lagi dalam memberi keceriaan dalam bulan Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal.

Hari ini, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengadakan majlis penyampaian derma khusus bagi anak-anak yatim daripada kalangan warga TAP sendiri serta diteruskan dengan aktiviti lawatan amal dengan mengunjungi 10 buah keluarga yang kurang berkemampuan di beberapa kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, penyampaian derma anak-anak yatim dan sumbangan semasa aktiviti lawatan amal telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Lembaga Pengarah TAP.

Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada ahli lembaga dan warga kerja TAP bagi membantu keluarga berkenaan dalam membuat persediaan menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, seramai 93 orang anak yatim warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima sumbangan pada majlis yang dikendalikan secara pandu lalu bertempat di kawasan Lobi Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong, kelmarin.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika mengunjungi salah sebuah keluarga yang menerima bantuan daripada TAP. – Gambar serahan TAP
Awang Firdaus dan Awang Taib menyampaikan sumbangan daripada TotalEnergies EP kepada salah seorang penerima di Kampung Lumut.
Pengerusi KOTIBA menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim secara pandu lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani
Dayang Sabrina Aziemah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.
Rombongan dari RTB menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian dan wang tunai kepada salah seorang kanak-kanak yang menghidap kanser dari YASKA yang kurang berkemampuan dalam Projek Jalinan Kasih ke-14. – Gambar serahan RTB
Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan menyampaikan derma kepada anak-anak yatim secara pandu lalu di kawasan Lobi Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Awang Firdaus dan Awang Taib bergambar ramai bersama wakil keluarga yang menerima sumbangan daripada TotalEnergies EP.

Hadir menyampaikan derma-derma tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku yang dipertua Perkumpulan Isteri-isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).

Turut hadir bagi sama-sama menyampaikan derma berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Awang Sulaiman bin Alidin dan Pengerusi PEKERTI, Dayang Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong.

Majlis ini merupakan acara tahunan yang menyatukan rangkaian kerjasama di antara Jawatankuasa Mes Pegawai, Jawatankuasa Tertinggi Badan Kebajikan dan Sukan PPDB dan PEKERTI.

Radio Televisyen Brunei (RTB) pula telah meneruskan lagi pelaksanaan Projek Jalinan Kasih ke-14, memperingati Ulang Tahun Perkhidmatan Radio Brunei ke-65, yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RTB, di sini, menyatakan bahawa mengetuai rombongan untuk menye-rahkan sumbangan kepada para penerima semasa projek itu ialah Pemangku Ketua Bahagian Rancangan Radio, Dayang Salmi binti Haji Ibrahim sebagai wakil pemangku pengarah RTB.

Pada projek berkenaan, sumbangan berupa keperluan harian dan wang tunai telah diserahkan kepada empat orang kanak-kanak yang menghidap kanser dari Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) yang kurang berkemampuan.

Turut mengadakan majlis penyampaian derma adalah Koperasi Persatuan Tiba (KOTIBA) bagi 62 orang anak yatim dari enam buah kampung, yang berlangsung secara pandu lalu di
Stesen Minyak KOTIBA Salambigar.

Penyampaiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi KOTIBA, Haji Omar bin Haji Mohd Tahir.

Anak-anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan adalah dari Kampung Tanah Jambu, Kampung Salar, Kampung Salambigar, Kampung Sungai Hanching, Kampung Sungai Tilong dan Kampung Manggis.

Dalam pada itu, kelmarin, seramai 15 orang anak yatim dan penjaga mereka dari Daerah Brunei dan Muara telah menghadiri majlis bersungkai yang dihoskan oleh Britain Brunei Business Forum (BBBF) di Hotel Radisson di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi BBBF, Siva Subramaniam dan ahli-ahli jawatankuasa BBBF lain.

Pada majlis itu, anak-anak yatim turut menerima beg cenderahati yang mengandungi peralatan persekolahan, sejadah dan duit raya manakala penjaga anak-anak yatim turut menerima cenderahati yang disumbangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dan ahli BBBF.

Di Daerah Belait, TotalEnergies EP (Brunei) B.V. telah menjalankan siri kempen sumbangan untuk membantu 20 buah keluarga, hari ini.

Bermula di Daerah Belait, delegasi kakitangan dan sukarelawan syarikat berkenaan yang diketuai Ketua Perhubungan dan CSR, Awang Firdaus Razali telah menyampaikan sumbangan kepada 10 buah keluarga pada majlis yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Lumut. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Lumut 2, Awang Taib bin Haji Salleh.

Kempen sumbangan juga diteruskan ke Kampung Serasa pada sebelah petang di mana 10 buah keluarga dari kawasan berkenaan menerima sumbangan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jepun beri penghormatan kepada Abe

TOKYO, 27 SEPT – Rakyat Jepun dan perwakilan asing memberikan penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara mengundang kontroversi...

Dibunuh hanya kerana salah eja

- Advertisment -