BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Walaupun Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada kesan jangkitan wabak COVID-19, kita amat berbangga golongan warga emas di seluruh negara turut mempraktikkan dan menyesuaikan keadaan terhadap norma-norma baharu serta terus mencatatkan pencapaian-pencapaian yang signifikan.
Pencapaian berkenaan termasuk penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) yang baharu di Daerah Belait dan Temburong dengan kerjasama strategik pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) serta pelancaran garis pandu PKWE.
Selain itu, peningkatan usaha perlindungan dan pemerkasaan sosial selaras dengan Pelan Tindakan Warga Emas, yang mana sikap proaktif, komitmen tinggi dan kerjasama padu daripada semua pihak khususnya PKWE, pertubuhan dan persatuan warga emas terhadap pelaksanaan pelan tindakan tersebut, telah turut menyumbangkan dan memberikan impak yang dihasratkan.
Pencapaian lain ialah perlaksanaan aktiviti-aktiviti bermanfaat di peringkat kementerian, persatuan, sukarelawan dan individu ke arah kemajuan dan inklusiviti golongan warga emas secara Whole of Nation.
Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam perutusannya sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2020.

Beliau seterusnya berkata, selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Pandemik: Adakah Ia Mengubah Cara Kita Menangani Umur dan Penuaan’, kita amat bertuah kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta seluruh lapisan masyarakat sangat mengambil berat dan mengutamakan tanggungjawab sosial dalam memastikan penjagaan kesihatan dan kebajikan, khususnya bagi golongan yang berisiko tinggi termasuk warga emas, demi memastikan golongan ini akan sentiasa dipeduli dan tidak akan ketinggalan.
Sebagai misalan, pengenalan aplikasi BruHealth telah membolehkan pihak berwajib untuk memantau warga emas dengan memanfaatkan teknologi digital, dan sekali gus ia juga telah memberikan akses dan menjadikan penghubung warga emas kepada masyarakat melalui penggunaan teknologi terkini dalam usaha memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Dari aspek perlindungan sosial, ujar beliau, usaha seperti pembayaran Pencen Umur Tua melalui perbankan dalam talian diperkenalkan sebagai kaedah alternatif oleh pihak kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan sosial dengan menghindari sebarang risiko jangkitan kepada warga emas.
Di samping itu, dengan pelancaran Sistem Kebajikan Negara (SKN) pada tahun ini, ia merupakan platform yang juga akan memudahkan akses permohonan bagi warga emas serta memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan komprehensif mengenai ekosistem bantuan di negara ini dengan telus, jelas serta tidak ada ketirisan dan keciciran terhadap bantuan-bantuan yang diagihkan.
Apa yang turut membanggakan, ujar beliau, semangat masyarakat Brunei jelas nampak dan lebih kukuh terutamanya di kalangan belia, untuk sama-sama berganding bahu dengan pihak-pihak barisan hadapan demi memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan termasuk warga emas.
“Di sini, lebih 2,100 individu daripada pelbagai latar belakang dan usia telah mengorbankan masa dan tenaga mereka melalui Pusat Operasi Sukarelawan COVID-19, di samping pihak sukarelawan yang lain, untuk memainkan peranan yang kritikal, termasuk mengagihkan catuan makanan dan peralatan perlindungan kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas agar mereka terus dipeduli dan dikelinga semasa menghadapi risiko pandemik,” tambah beliau.
Berdasarkan tema sambutan tahun ini juga, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu turut mempromosikan inisiatif Dekad Penuaan Sihat (2020-2030) melalui ‘Global Strategy and Action Plan on Ageing and Health’ untuk menyahut peluang dan menangani cabaran warga emas pada abad ke-21.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada proses penuaan di kalangan penduduknya.
Menurut data terkini, golongan berumur 60 tahun ke atas merangkumi 8.4 peratus daripaa jumlah penduduk (38,500 dari 459,500) pada 2019, berbanding dengan 7.4 peratus (30,500 dari 411,900) pada 2014, dan ini dianggarkan akan meningkat kepada 28.7 peratus pada 2050.
“Ke arah itu, kita turut menghargai dan sangat mengalu-alukan usaha-usaha daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan untuk meningkatkan kesedaran terhadap cabaran-cabaran khusus yang boleh menjejaskan kesihatan dan menimpa kesejahteraan golongan warga emas,” ujar beliau.