BEIJING, 19 APRIL – Pihak berkuasa China hari ini berkata mereka telah menahan 12 orang dalam insiden kebakaran hospital di Beijing yang menyebabkan sekurang-kurangnya 29 maut dan memaksa mangsa yang terselamat untuk melompat keluar dari tingkap bagi menyelamatkan diri.
Kebakaran yang berlaku pada petang Selasa di Hospital Changfeng di ibu negara China, mengorbankan kebanyakan pesakit, dan menyebabkan berpuluh-puluh orang lain cedera.
Rakaman dramatik yang disiarkan di media sosial menunjukkan orang ramai berpaut pada tali dan melompat dari bangunan, manakala yang lain bertenggek di unit penghawa dingin di luar bangunan dalam usaha terdesak untuk berlindung daripada api.
Timbalan Datuk Bandar daerah Fengtai menyampaikan ucapan takziah atas kematian 16 wanita dan 13 lelaki yang terbunuh dalam kebakaran tersebut, insiden yang paling teruk di Beijing dalam tempoh lebih dua dekad.
“Kami berasa sangat menyesal dan bersalah,” kata Li Zongrong kepada wartawan ketika dia mengumumkan jumlah korban pada sidang media hari ini.
“Saya dengan ini merakamkan ucapan takziah kepada mangsa, dan merakamkan penghormatan ikhlas kepada keluarga mangsa, mangsa yang cedera dan saudara-mara mereka, serta memohon maaf kepada seluruh penduduk di bandar ini,” katanya.
Dua belas orang, termasuk pengarah hospital, telah ditahan berhubung kebakaran itu, kata Sun Haitao dari biro keselamatan awam Beijing, sambil menambah bahawa wakil dari sebuah syarikat yang mengubah suai kemudahan itu adalah antara yang ditahan.
Siasatan awal mendedahkan kebakaran itu berpunca daripada ‘percikan api yang terhasil semasa pengubahsuaian dalaman dan pembinaan jabatan pesakit dalam hospital’, menurut Zhao Yang dari pasukan bomba bandar.
Percikan api ‘menyalakan unsur-unsur meruap pada cat mudah terbakar di tapak pembinaan itu’, kata Zhao. – AFP