Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Anggota bomba dan penyelamat berjaya memadam kebakaran enjin sebuah kereta jenis SUV yang diletakkan di kawasan letak kereta di Kampung Salar, kelmarin.
Dalam kejadian itu, 11 orang anggota dari Balai Bomba Muara yang diketuai Penolong Pegawai Balai Mustapa bin Haji Shadan dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 12:23 tengah hari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), anggota bomba bertindak memadam kebakaran itu dengan menggunakan air daripada jentera bomba dan api dapat dikawal dalam masa seminit.
Pemilik kereta merupakan warga tempatan dan tiada korban jiwa dilaporkan manakala itu, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.
Sehubungan itu, JBP menyeru orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan dengan memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
