Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kebangkitan Kiub Rubik di era digital

    BUDAPEST – Pengkritik berkata kiub berwarna-warni yang dicipta oleh Emo Rubik kira-kira 50 tahun lalu itu tidak akan dapat bertahan hingga tahun 1980an.

    Namun bagi golongan milenial dan Generasi Z, mereka begitu taksub dengan Rubik’s Cube seperti ibu bapa mereka, yang membuatkan penciptanya yang berusia 79 tahun itu terhibur, semasa bercakap dengan AFP dalam satu wawancara jarang berlaku.

    “Dalam dunia digital kita perlahan-lahan lupa bahawa kita mempunyai tangan,” kata Rubik.

    Tetapi bermain dengan kiub membantu kita memanfaatkan semula dengan sesuatu yang sangat primitif tentang melakukan sesuatu dengan tangan kita, yang digelarnya ‘alat pertama kita’, katanya.

    Speed cubing dan helah Kiub Rubik sangat popular di media sosial, kerap menjadi tular yang mana golongan muda sambil menari, bergaya rap dan malah bermain piano sambil menyelesaikan teka-teki 3D itu.

    Erno Rubik mencipta prototaip pertama kiub alih yang diperbuat daripada kayu kecil dan disatukan oleh mekanisme yang unik. – AFP
    Pencipta Kiub Rubik, Erno Rubik semasa di temu bual dengan wartawan pada 29 April lalu. – AFP
    Gambar AFP

    Rubik berkata ‘hubungan antara minda dan tangan’ yang dibantu oleh kubik itu telah menjadi faktor ‘sangat penting’ dalam perkembangan manusia.

    “Saya rasa mungkin kuib mengingatkan kita bahawa kita mempunyai tangan… Awda bukan sahaja berfikir, awda sedang melakukan sesuatu.

    “Ia adalah satu karya seni yang awda terlibat secara emosi,” tambah Rubik.

    Profesor seni bina Hungary dengan bersahaja tidak pernah menyangka prototaip yang dia cipta akan menakluki dunia dan menjamin kehidupannya.

    Lebih daripada 500 juta objek tiruan telah dijual tidak termasuk pelbagai pemalsuan.

    Kiub Rubik kekal sebagai salah satu permainan teka-teki terlaris di dunia, dengan lebih daripada 43 quintillion yang mana satu quintillion menjadi satu billion trilion cara untuk menyelesaikannya.

    Walaupun selepas ‘beratus-ratus atau beribu-ribu tahun’, awda masih akan mencari cara untuk menyelesaikannya, Rubik bersemangat.

    Walaupun terdapat banyak ciptaan digital melalui skrin, “generasi baharu telah membangunkan hubungan kukuh yang sama dengan kiub,” kata Rubik kepada AFP di Institut Teknologi Aquincum Budapest, di mana dia kadang-kadang memberikan kuliah.

    Pada musim bunga tahun 1974 dia mencipta prototaip pertama kubik alih yang diperbuat daripada blok kayu kecil dan disatukan oleh mekanisme unik.

    Lima dekad sejak itu adalah ‘luar biasa’ katanya, membandingkan hubungannya dengan kiub dengan mempunyai ‘wunderkind’ dalam keluarga.

    “Awda perlu berundur kerana ‘anak’ awda dan kemasyhuran yang boleh memenatkan,” katanya.

    Dalam bukunya Cubed, yang diterbitkan pada 2020, Rubik mendedahkan bahawa dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan kesan di dunia tetapi dia hanya didorong oleh kecintaannya untuk membina model geometri.

    Rubik mengambil beberapa prototaip dan berminggu-minggu untuk mencari mekanisme yang ideal dan cara untuk menyelesaikan teka-tekinya sebelum dia boleh memfailkan permohonan paten pada tahun 1975.

    Magic Cube yang berwarna-warni mula dijual di dalam negara pada 1977 sebelum mencapai rak antarabangsa tiga tahun kemudian.

    Rubik mengimbas kembali perjalanan pertamanya seperti seakan dongeng dari Hungary komunis ke Barat, di seberang Tirai Besi.

    Walaupun tidak suka dengan publisiti, pencipta itu telah mengumpulkan koleksi kira-kira 1,500 muka depan majalah yang memaparkan kiubnya selama ini, yang telah menjadi ‘simbol kerumitan’ untuk menggambarkan apa sahaja daripada masalah geopolitik hingga pilihan raya.

    Sama ada awda ‘suka atau benci’, awda tidak boleh mengabaikannya, katanya.

    Legasi Kiub Rubik kekal kuat dalam budaya pop, telah dipaparkan dalam pelbagai siri TV dan filem blockbuster Hollywood.

    Ia juga kekal sebagai pusat pertandingan penyelesaian teka-teki.

    Pakar kiub kerap berkumpul di seluruh dunia, bertarung dengan tangan dan kaki, kadangkala sambil menutup mata atau melakukan headstand, kata Rubik.

    Kiub itu mendapat tempat dalam pameran tetap di Muzium Seni Moden New York dan ia juga telah memberi inspirasi kepada artis, termasuk artis jalanan Perancis yang terkenal, Invader.

    Kiub Rubik digunakan sebagai alat pendidikan yang digunakan di mana-mana dari sekolah tadika hingga universiti itu juga popular di rumah persaraan dan membantu mereka yang menghidap autisme, termasuk bintang Amerika Syarikat, Max Park, yang memegang rekod dunia dapat menyelesaikannya dalam masa 3.13 saat.

    Rubik berkata ganjaran emosi yang diberikan kiub itu lebih baik daripada ‘wang persaraan’ yang diperolehnya.

    “Senang rasanya telah melakukan ‘sesuatu yang baik untuk orang ramai’, katanya, sambil menambah bahawa kiub itu telah pun menghasilkan ‘perkahwinan dan banyak lagi…” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...