Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keberangkatan Rasmi Baginda Sultan ke Perancis

    Oleh Syahmi Hassan – 

    PARIS, 15 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin memulakan Keberangkatan Rasmi ke Republik Perancis dengan lawatan ke MBDA (Matra, BAE Dynamics and Alena) Missile Systems, Majlis Perjumpaan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies dan Majlis Santap Malam serta Majlis Perjumpaan Tete-a-tete dengan Presiden Republik Perancis.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke lawatan dan majlis-majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Lawatan ke MBDA Missile Systems

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat ke Syarikat MBDA di Le Plessis-Robinson, Paris, di mana keberangkatan tiba Baginda dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBDA, Eric Beranger dan para pegawai kanan syarikat berkenaan.

    Baginda berkenan menyaksikan tayangan demonstrasi video mengenai sistem pertahanan udara dan mendengar sembah penerangan mengenai produk dan perkhidmatan MBDA yang disembahkan oleh Eric Beranger.

    Baginda juga berkenan menyaksikan demonstrasi simulator Kit Mistral Virtual Reality dan kemudiannya berangkat menuju ke kawasan pelancaran bagi menyaksikan pameran statik.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mendengar sembah penerangan mengenai produk dan perkhidmatan MBDA semasa lawatan ke Syarikat MBDA di Le Plessis-Robinson, Paris. Berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Majlis Santap Malam dan Majlis Perjumpaan Tete-a-tete di Elysee Palace dijunjung oleh TYT Emmanuel Macron.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh TYT Emmanuel Macron. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima kunjungan hormat daripada Patrick Pouyanne di Hotel Plaza Athenee, Paris. – Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto

    MBDA adalah satu-satunya syarikat di Eropah yang mereka bentuk dan menghasilkan sistem peluru berpandu dan peluru berpandu untuk memenuhi keseluruhan rangkaian keperluan semasa dan masa hadapan bagi ketiga-tiga cabang angkatan tentera (iaitu udara, laut dan darat), dan satu-satunya syarikat pertahanan berintegrasi yang menyediakan peluru berpandu dan sistem peluru berpandu untuk setiap cabang angkatan tentera.

    Kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies

    Pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne di Hotel Plaza Athenee, Paris.

    Semasa kunjungan hormat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Patrick Pouyanne membincangkan mengenai isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama dalam bidang tenaga dan perdagangan.

    Majlis santap dan Majlis Perjumpaan Tete-a-tete bersama Presiden Perancis

    Pada sebelah malam, Baginda berangkat ke Elysee Palace bagi menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron dan mengadakan Majlis Perjumpaan Tete-a-tete bersama Tuan Yang Terutama.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Military Commander of the Presidency of the Republic, Kolonel Guillaume Chantereau.

    Baginda seterusnya dijunjung berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan sebelum dialu-alukan oleh TYT Emmanuel Macron.

    Semasa Majlis Santap Malam dan Majlis Perjumpaan Tete-a-tete tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis, termasuk bidang tenaga, pertahanan, keselamatan, perubahan iklim, ekonomi dan perdagangan, serta usaha-usaha untuk meningkatkan lagi Perkongsian Pembangunan ASEAN-Perancis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda