Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keberanian pekerja disanjung

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Lima orang pekerja di Stesen Minyak KOTIBA, Kampung Salambigar dianugerahkan Sijil Masyarakat Berjasa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, atas keberanian dan tindakan pantas mereka semasa terjadinya insiden kebakaran di stesen tersebut kelmarin.

    Sijil tersebut telah disampaikan oleh Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat, Awang Mushidee bin Junaidi selaku pemangku timbalan pemerintah Operasi ‘C’.

    Para pekerja yang menerima sijil penghargaan tersebut ialah Awang Ahmad Albab bin Haji Zafri, Awang Mohd Yassin bin Mohd Yusri, Awang Amirul Nizam bin Haji Abdul Mazid, Awang Zul Hidayast bin Maidin, dan Dayang Nur Saripah binti Haji Asmat. Terdahulu, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) mengesahkan terjadinya insiden kebakaran di stesen minyak tersebut kira-kira pukul 6:50 petang kelmarin.

    Sebuah kenderaan kepunyaan seorang pelanggan telah terbakar ketika sedang beratur untuk pengisian minyak.

    Api telah berjaya dipadamkan tanpa berlakunya sebarang kecederaan dan tiada sebarang kerosakan terhadap stesen minyak telah dilaporkan.

    Para pekerja Stesen Minyak KOTIBA yang menerima Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan atas keberanian dan tindakan pantas mereka.

    Sejurus menerima panggilan kebakaran kereta, pihak JBP berkejar ke tempat kejadian dan apabila sampai di tempat kejadian, siasatan telah dijalankan dan mendapati sebuah kenderaan, kepunyaan seorang warga Bangladesh, terbakar dan berjaya dipadamkan oleh lima orang pekerja stesen minyak berkenaan dengan menggunakan sembilan pemadam api jenis ‘dry powder’ sebelum jentera bomba sampai.

    Stesen minyak tersebut berada di dalam keadaan selamat dan telah kembali beroperasi hari ini.

    Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran hos minyak petrol di bahagian tangki minyak kereta yang terkena ekzos. Anggaran kerugian kereta dan kerugian syarikat Stesen Minyak KOTIBA masih dalam siasatan.

    JBP menekankan kepada orang ramai agar mencegah diri daripada menggunakan telefon bimbit, mematikan enjin kenderaan ketika mengisi minyak, dan tidak merokok ketika berada di stesen-stesen minyak kerana kawasan-kawasan tersebut amat sensitif dan mudah terbakar.

    Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke JBP melalui talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

    Manakala itu, BSM mengingati semua pelanggan untuk sentiasa memberikan kerjasama kepada kakitangan stesen minyak dan mematuhi peraturan-peraturan keselamatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda