ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
EMANSIPASI wanita memang jelas cukup menonjol pada era ini yang menunjukkan bahawa keperibadian seseorang wanita sebagai seorang yang berdikari, berkeyakinan dan berfikiran matang.
Maka isu tersebut yang cuba ditonjolkan oleh Kim Jung-Hyun dalam mengarahkan skrip drama Jugglers yang skripnya digarap oleh Jo Yong-Hae.
Baek Jin-Hee dan Daniel Choi telah digandingkan untuk menjadi teraju utama dalam siri drama komedi dan romantik yang menampilkan latar dalam sebuah syarikat ini.
Di samping itu, siri drama ini juga turut dibintangi oleh beberapa pelakon hebat Korea lain seperti Kang Hye-Jung, Lee Won-Geun, Kim Chang-Wan, Cha Soon-Bae, Jung Soo-Young, Kim Ki-Bang, Park Chi-Soo, Hong Kyung dan Jwa Tae-Yi.
Kisah Jwa Yoon-Yi lakonan Baek Jin-hee adalah seorang wanita yang bekerja di sebuah syarikat. Dia merupakan seorang pekerja yang rajin, cukup berkeyakinan dan sangat bekerja keras.
Dalam melaksanakan pekerjaannya, dia sangat menghormati ketuanya bernama Nam Chi-won lakonan Daniel Choi yang cukup cerewet dalam semua hal.
Ternyata dalam diam, Jwa Yoon Ji juga turut menyimpan rasa cintanya terhadap ketuanya yang bersikap introvert itu.
Namun dia sendiri juga merupakan seorang yang cukup berpegang kepada diri sendiri dan hanya akan berusaha untuk mencairkan hati keras ketuanya itu dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh dirinya.
Justeru untuk mengetahui sejauh mana kejayaan Jwa Yoon Ji dalam menarik perhatian ketua syarikatnya itu melalui kebijaksanaan yang dimiliki dalam dirinya maka jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Jugglers sehingga ke penghujungnya.