TOKYO, 30 DIS – Saham Asia kebanyakannya jatuh hari ini dalam dagangan hari cuti yang menggelisahkan menjelang 2025 yang berpotensi bergolak apabila Donald Trump kembali ke Rumah Putih.
Dengan jumlah dagangan yang rendah, niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga menunjukkan penurunan selepas kerugian pada Jumaat yang menamatkan ‘Santa Claus rally’ yang biasa berlaku pada musim cuti di Wall Street.
Saham teknologi memimpin penurunan, dengan gergasi kereta elektrik Elon Musk, Tesla, turun sekitar lima peratus dan pengeluar cip AI Nvidia turun sekitar dua peratus.
Sentimen turut terjejas oleh kebimbangan mengenai pemotongan kadar faedah AS yang lebih perlahan daripada yang diharapkan dan kemungkinan tarif import yang lebih tinggi selepas Trump dilantik pada 20 Januari.
“Dengan hasil bon AS yang meningkat dan kecairan yang hampir tidak wujud, selalu ada potensi untuk pergerakan yang besar,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
“Ini berlaku semasa fasa penting penyusunan semula penghujung tahun, yang dipertingkatkan oleh kedudukan ekuiti yang besar di seluruh portfolio,” kata Innes dalam satu nota.
Pasaran saham Tokyo, pada hari terakhir dagangannya sebelum bercuti hingga 6 Januari, jatuh hampir satu peratus.
Nissan merosot sebanyak 6.7 peratus disebabkan kebimbangan mengenai cadangan penggabungannya dengan pembuat kereta Jepun yang lain, Honda.
Secara keseluruhan, indeks Nikkei 225 meningkat hampir 20 peratus tahun ini, akhirnya melepasi paras tertinggi yang dicatatkan sebelum gelembung aset Jepun meletup pada tahun 1990an. – AFP