Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebocoran bahan kimia cetus kebimbangan awam

    TOKYO, 13 OKT – Laporan berulang mengenai kebocoran bahan kimia yang dikaitkan dengan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Jepun, mencetuskan kebimbangan awam mengenai potensi risiko kesihatan, mendorong desakan untuk penyiasatan menyeluruh, lapor Xinhua.

    Dalam kejadian terbaharu, sekitar 47,000 liter air yang tercemar dengan bahan perdan polyfluoroalkyl (PFAS) melimpah dari Pangkalan Udara AS Yokota di barat Tokyo semasa hujan lebat Ogos lalu.

    Pegawai metropolitan Tokyo menerima laporan 3 Oktober lalu daripada tentera AS melalui Kementerian Pertahanan Jepun, yang menyatakan ‘penyesalan’ atas kelewatan pendedahan maklumat kerana insiden itu boleh menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran pangkalan berkenaan.

    “Jika kerajaan tidak mempunyai sistem untuk memeriksa pangkalan itu, kejadian seperti ini akan terus berulang,” komen seorang warganet Jepun mengenai berita berkenaan.

    PFAS merangkumi lebih 10,000 bahan kimia sintetik, termasuk asid perfluorooctanesulfonik dan asid perfluorooctanoik, yang digunakan dalam produk seperti peralatan memasak tidak melekat dan pakaian kalis air.

    Dalam penilaian kesihatan pertama terhadap bahan itu pada Jun, panel keselamatan makanan Jepun menyimpulkan bahawa kesan PFAS terhadap penurunan berat badan kelahiran dan pengurangan imuniti adalah ‘tidak dapat dinafikan,’ walaupun ‘bukti terhad’ mengenai potensi PFAS untuk menyebabkan kanser. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda