Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Memandangkan penggal persekolahan tahun baharu akan bermula esok, kedai-kedai gunting turut menjadi tumpuan ibu bapa dan penjaga.
Dalam tinjauan Media Permata ke beberapa buah kedai gunting di daerah ini mendapati, barisan kanak-kanak lelaki dilihat menanti giliran untuk mendapat khidmat gunting rambut.
Ini adalah bagi memastikan rambut kanak-kanak rapi, kemas dan memberikan semangat untuk mereka memulakan hari persekolahan dengan penampilan baharu tanpa melanggar peraturan sekolah.
Salah seorang tukang gunting berbangsa India semasa ditemu bual menjelaskan, ini adalah musim yang dinanti-nantikan dan mengongsikan mereka berusaha untuk mengendalikan perkhidmatan dengan sebaik mungkin.
“Walaupun dalam kesibukan menerima pelanggan, pihak pengurusan masih kekal menitikberatkan penjarakan sosial sebagai langkah berhati-hati, walaupun kita sudah memasuki Fasa Endemik,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, kebanyakan pelanggan yang akan menggunakan khidmat gunting rambut, lebih selesa membuat tempahan sebelum datang seperti yang disarankan oleh pihak pengurusan bagi mengelakkan menunggu lama dan berkumpul.
“Selain menjelang Hari Raya Aidilfitri, sebelum bermulanya musim persekolahan juga adalah antara masa kedai kami dipenuhi dan seluruh kakitangan kami akan sibuk melakukan tugas masing-masing dengan memenuhi kehendak potongan rambut yang diinginkan,” jelasnya lagi.
Salah seorang pelanggan yang ditemui di kedai berkenaan, Awang Haris Ismail berkata, semasa pandemik, ramai ibu bapa dan penjaga terpaksa menjadi bidan terjun mengunting rambut anak-anak mereka tapi kini dengan hasil usaha dan kerjasama semua pihak, kita dapat menikmati semula suasana seperti sebelum pandemik.
“Seperti lazimnya, pelbagai persiapan dibuat lebih awal bagi memastikan keperluan anak-anak siap dan lengkap sebelum sesi persekolahan bermula selain memastikan
mereka akan hadir ke sekolah kemas dan bersih dengan memastikan rambut digunting
seperti yang ada dalam peraturan sekolah.
“Kehadiran ke sekolah dengan pakaian baharu, rambut baharu pastinya akan memberikan semangat dan menetapkan azam dalam diri masing-masing untuk mendapatkan hasil yang lebih baik lagi tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, ibu bapa juga sibuk dengan persiapan akhir dalam penyediaan seragam sekolah tersedia diseterika digantung dan siap sedia untuk digunakan esok bagi mengelakkan kesibukan yang berterusan.