Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Thailand sahkan dua rakyatnya terlibat dalam insiden pesawat Jeju Air

    BANGKOK, 29 DIS – Kedutaan Thailand di Seoul mengesahkan bahawa dua rakyatnya menaiki pesawat Jeju Air yang terhempas di sebuah lapangan terbang di barat daya Korea Selatan hari ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri (MFA), Nikorndej Balankura, menyatakan bahawa Kedutaan Thailand di Seoul sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Korea Selatan bagi memantau keadaan.

    “Laporan awal menunjukkan terdapat dua penumpang Thailand di dalam pesawat. Keadaan mereka sedang disahkan dan sebarang kemas kini akan dikongsi secepat mungkin,” kata Nikorndej dalam kenyataan hari ini.

    Dilaporkan bahawa pesawat yang membawa 175 penumpang dan enam kru itu berlepas dari Thailand dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan ketika insiden berlaku.

    Kedutaan Thailand turut menggesa ahli keluarga rakyat Thailand yang berada di atas pesawat itu untuk menghubungi kedutaan bagi mendapatkan kemas kini atau maklumat lanjut melalui talian kecemasan yang disediakan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra melalui akaun rasmi X miliknya, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penumpang yang terkorban dan cedera dalam insiden berkenaan.

    Paetongtarn berkata Kementerian Luar Negeri Thailand diarahkan untuk menyiasat sama ada terdapat penumpang Thailand dan situasi semasa. – Bernama

    Gambar menunjukkan lokasi nahas pesawat di sebuah lapangan terbang di Muan, barat daya Korea Selatan, kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda