Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Keganasan, kekejaman semakin teruk di Myanmar – PBB

    GENEVA/MYANMAR, 20 MEI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata, keganasan dan kekejaman kini ‘semakin teruk’ di negeri Rakhine, Myanmar dan memberi amaran tentang ‘kekejaman’ selanjutnya.

    Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya dipatuhi sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2021.

    “Saya amat bimbang dengan laporan mengenai keganasan dan kemusnahan harta benda yang diperbaharui di perbandaran Buthidaung di negeri Rakhine utara Myanmar, mengakibatkan potensi pemindahan puluhan ribu orang awam, terutamanya Rohingya,” kata Volker Turk dalam satu kenyataan.

    Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu menyatakan PBB sedang berusaha untuk ‘mengumpul maklumat sokongan yang menunjukkan pelanggaran serius hak asasi manusia’.

    Tambah beliau, susulan ketegangan tinggi antara kaum antara etnik Rakhine dan Rohingya, didorong pula secara aktif oleh tentera, ini adalah tempoh kritikal di mana risiko jenayah kekejaman yang lebih teruk adalah sangat ketara.

    Warga Myanmar yang menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar untuk mencari perlindungan di Bangladesh diusir pulang ke negara mereka menggunakan kapal di Cox’s Bazar pada 25 April lalu. – AFP

    AA ialah salah satu daripada beberapa kumpulan etnik minoriti bersenjata di wilayah sempadan Myanmar, yang memerangi tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948, berhubung autonomi dan kawalan sumber asli yang menguntungkan.

    AA mendakwa ia memperjuangkan lebih banyak autonomi untuk penduduk etnik Rakhine di negeri itu.

    Pertempuran merebak ke 15 daripada 17 perbandaran negeri Rakhine sejak November lalu, mengakibatkan beratus-ratus orang terbunuh atau cedera dan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal.

    Justeru, beliau merayu terus kepada tentera Myanmar dan AA untuk hentikan pertempuran, melindungi orang awam, benarkan akses kemanusiaan segera tanpa halangan dan dengan segera mematuhi undang-undang antarabangsa ‘tanpa syarat’.

    Turk juga merayu kepada negara jiran Bangladesh untuk memberikan perlindungan kepada ‘orang terdedah yang mencari perlindungan’. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...