Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Kelab Radio Amatur bersama rakan strategik, Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) sekali lagi menyertai Jambori di Udara (JOTA) ke-65 dan Jambori di Internet (JOTI) ke-26 peringkat dunia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
PPNBD telah membuka dua stesen radio amatur, iaitu di Bangunan Ibu Pejabat PPNBD dan di Sekolah Menengah Awang Semaun bagi Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara dengan masing-masing menggunakan tanda panggilan V84CBS dan V84CBM.
Manakala itu, stesen di Daerah Tutong dan Daerah Temburong juga dibukakan di ibu pejabat persatuan pengakap daerah masing-masing yang juga disertai oleh ahli-ahli pengakap dari daerah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan kegiatan JOTA-JOTI 2022 peringkat negara dan stesen di Ibu Pejabat PPNBD ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi.
Turut hadir pada Majlis Perasmian V85SH ialah Pesuruhjaya Perkembangan Sumber Dewasa, Haji Awang Hassan bin Haji Abdil Hamid dan Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Radio Amatur, Haji Abdul Jamal bin Haji Abdul Rahman bagi V85AJK, yang juga selaku pengerusi bersama bagi JOTA-JOTI di Brunei Darussalam.


Awang Mohammad Arif telah berkesempatan untuk berhubung melalui udara dengan menggunakan radio amatur ke stesen Persatuan Pengakap Daerah Tutong dan Persatuan Pengakap Daerah Temburong.
JOTA-JOTI di stesen Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara dengan tanda panggilan V84CBM telah dilancarkan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran) Sekolah Menengah Awang Semaun, Awang Mohd Fadzilah bin Haji Mohd Ismail.
Di stesen Persatuan Pengakap Daerah Tutong dengan tanda panggilan V84CDT, pelancarannya telah disempurnakan oleh Guru Besar Sekolah Chung Hwa, Tutong, Haji Yahya bin Haji Abdul Rahman.
Manakala itu, pelancaran di stesen Persatuan Pengakap Daerah Temburong dengan tanda panggilan V84CTS, disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Hussin.
Melalui aktiviti seumpama itu, ahli-ahli pengakap lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap yang tidak kenali yang berada ribuan kilometer dari Negara Brunei Darussalam serta dapat mengetahui betapa penting peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus teknologi yang serba maju dan canggih.

