Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPE
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Empat unit premis di kawasan kompleks komersial Kampung Melabau dan satu unit di kawasan kompleks komersial Kampung Serusop telah didapati membuat penyambungan elektrik tanpa kebenaran dan membuat pelencongan pendawaian elektrik daripada meter bagi pengendalian aktiviti penempaan mata wang kripto.
Dapatan itu adalah hasil daripada pemeriksaan bersepadu oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dengan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang semasa operasi bersepadu pada 28 Disember.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPE, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini, operasi bersepadu itu diketuai oleh JPE dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa undang-undang yang terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD).
Operasi bersepadu yang dijalankan berhubung dengan Akta Elektrik Penggal 71 itu melibatkan seramai kira-kira 30 orang penguat kuasa undang-undang yang menumpukan kepada pemeriksaan ke atas tiga buah premis dan bangunan komersial di kawasan kompleks komersial Kampung Melabau dan Kampung Serusop serta kompleks perindustrian Kampung Lugu.
Operasi bersepadu itu bertujuan untuk mengukuhkan langkah pencegahan daripada bahaya dan kemalangan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti penyambungan elektrik tanpa kebenaran termasuk pelencongan pendawaian elektrik daripada meter yang mana ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Elektrik Penggal 71 Seksyen 3 dan 9.
Jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi $50,000 dan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Penyambungan elektrik tanpa kebenaran itu akan menjurus kepada pendawaian yang tidak selamat yang boleh mengakibatkan kebakaran, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
JPE dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan secara berterusan membuat pemeriksaan mengejut ke atas semua premis-premis komersial yang disyaki membuat penyambungan elektrik tanpa kebenaran dan pelencongan pendawaian elektrik daripada meter dalam pengendalian apa-apa jua aktiviti yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik secara intensif termasuk aktiviti penempaan mata wang kripto.
Pihak JPE memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan apa jua kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang mencurigakan seperti penyambungan elektrik tanpa kebenaran ke Talian Darussalam 123, e-mel, des.info@des.gov.bn atau dengan mengisi Borang Pertanyaan dan Aduan, Bahagian Pengurusan Hasil yang boleh dimuat turun di laman sesawang JPE, www.des.gov.bn.

