Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kegigihan ‘topo’ bantu mangsa gempa Mexico

    MEXICO CITY – Ismael Villegas sedang dalam percutian. Dia tidak mandi selama seminggu, dia tidur beberapa jam di lantai salah sebuah kelab malam, dan dia menghabiskan keseluruhan waktunya menggali runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang melanda Mexico baru-baru ini.

    Villegas adalah seorang ‘topo’, atau dalam bahasa Sepanyolnya bermaksud ‘tikus mondok’ – anggota penyelamat sukarelawan yang menggali masuk ke dalam timbunan runtuhan bangunan konkrit dan keluli, mencari mangsa-mangsa yang selamat dan membawanya keluar.

    Ia adalah satu tradisi yang bermula dari gempa bumi tahun 1985 yang mengorbankan lebih dari 10,000 dan meruntuhkan ratusan bangunan di Mexico City. Gempa itu – yang melanda pada hari yang sama seperti 19 September baru-baru ini – telah membuatkan perkhidmatan kecemasan kerajaan sibuk, dan memberikan anggota sukarelawan awam untuk mengisi ruangan itu.

    Villegas, yang berusia 14 tahun pada masa itu, masih ingat apabila melihat sekumpulan lelaki dan wanita muda memasuki timbunan runtuhan dan mengeluarkan mangsa yang terselamat. ‘Topo’ terawal cuba membangunkan teknik-teknik terbaru bagi mengeluarkan orang awam dari runtuhan bangunan tersebut.

    Mereka perlu merangkak ke dalam runtuhan bangunan itu, kemudian memasukinya dengan cara melintang dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain, mencari ruang udara di mana mangsa masih hidup.

    Anggota penyelamat mencari kanak-kanak yang terperangkap di dalam sekolah Enrique Rebsamen yang runtuh di Mexico City. – AP

    Ia lebih cepat dan murah – tetapi jauh lebih berbahaya – daripada teknik standard antarabangsa, yang melakukan usaha menyelamat secara turun ke bawah menegak melalui runtuhan bangunan, dari satu bahagian pada satu masa, sering melakukan perhentian untuk memastikan struktur tetap stabil.

    “Teknik kami adalah untuk menggali terowong. Oleh sebab itu kenapa kami digelar sebagai ‘Topo’ atau ‘tikus mondok’, kerana kami menggali terowong, kadang-kadang tidak menggunakan sebarang peralatan selain tangan kami sahaja,” kata Villegas, memakai topi keledar yang diikat dengan cermin mata perlindungan dan lampu depan.

    Apabila gempa bumi menggegarkan Mexico City baru-baru ini, Villegas berada sejauh 700 kilometer, di negeri selatan Oaxaca, membantu membersihkan kerosakan akibat gempa sebelumnya iaitu pada 7 September.

    Sebaik sahaja gempa berhenti menggegarkan bumi, dia kemudian melompat ke dalam keretanya dan bergegas kembali ke Mexico City, di mana banyak laporan diperoleh akibat dari runtuhan bangunan dan orang awam terperangkap di dalamnya.

    “Saya memandu secepat yang boleh. Ia adalah pemanduan selama 10 jam. Saya tiba di sini pada jam 2 pagi kemudian terus meluru ke kawasan runtuhan. Pasukan saya dan saya berjaya menyelamatkan tujuh orang yang terperangkap,” katanya.

    Villegas belum berganjak dari bangunan pejabat tujuh tingkat ini di Alvaro Obregon Avenue, daerah Roma, salah sebuah kawasan yang paling teruk terjejas akibat dari kemusnahan yang membunuh lebih daripada 330 orang.

    Villegas menganggarkan bahawa kira-kira 200 ‘topo’ atau ‘tikus mondok’ di Mexico. Mereka dianggap sukarelawan. Apabila berlaku gempa bumi besar – bukan hanya di Mexico, tetapi di seluruh dunia – mereka akan mengambil cuti dan bergegas ke zon bencana.

    Semasa waktu bekerja, Villegas, 46, adalah seorang juruelektrik di stesen kereta api bawah tanah Mexico City. Tetapi menjadi ‘tikus mondok’, katanya memerlukan pengorbanan.

    “Saya masih bujang dan belum mempunyai anak. Saya berfikir bahawa ini adalah kerana saya sentiasa bergegas ke kawasan bencana, kerana saya tidak berfikir bahawa saya ini mempunyai paras yang buruk!”

    Sebuah bangunan hotel yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi 7.1 di Mexico City. – AFP
    Anggota pasukan penyelamat Perancis bertemu dengan anggota penyelamat Mexico ketika gerakan mencari di kawasan rumah-rumah yang rosak teruk akibat dari gempa bumi 7.1 di Tetela del Volcan, wilayah Morelos, Mexico. – AFP

    Ia juga sangat merbahaya. Jika tersalah langkah, anda boleh terperangkap dan terhimpit di dalamnya.

    “Ia seperti lapisan kek mempunyai tingkat-tingkat yang berbeza. Tiba-tiba, ada seseorang menarik asas kek dan tingkat enam kek tersebut, dan kemudian runtuh menjadi satu setengah,” kata Luis Garcia, 43, seorang peguam dan ‘tikus mondok’.

    “Ia adalah sebuah pulau simen, rebar, logam, runtuhan dan cecair. Anda merasa sangat terdesak di sana.”

    Pola Diaz Moffitt, yang bekerja bersama Villegas dalam persatuan yang dipanggil sebagai Adrenaline Star Moles, mula melakukan ini pada tahun 1985. Dia berkata rasa ketakutan menyelubunginya semasa dia mula-mula membuat operasi runtuhan itu, begitu juga sehingga hari ini.

    “Pada mulanya kaki terasa gementar kemudian anda berjaya mengendalikannya. Ia adalah sebuah tempat di mana kesemuanya bergerak,” katanya.

    Diaz, seorang pekerja sosial berusia 53 tahun, menganggarkan bahawa dia telah membantu menyelamatkan kira-kira 25 orang dalam kariernya. Terdapat sedikit harapan untuk mencari mangsa yang terselamat dari gempa bumi berukuran 7.1 magnitud.

    Apabila bangunan Alvaro Obregon runtuh berkecai dengan timbunan konkrit dan keluli, terdapat 132 orang berada di dalamnya.

    Dua puluh sembilan telah diselamatkan hidup-hidup semasa beberapa hari pertama dan 69 lainnya di seluruh bandar.

    Tetapi baru-baru ini, hanya mayat ditemui dari 39 bangunan yang runtuh. Namun, ‘tikus mondok’ enggan berputus asa – walaupun selepas lebih dari beberapa minggu bekerja keras dan tidak mendapat tidur yang secukupnya.

    “Kami telah menyelamatkan mangsa dari runtuhan selepas beberapa minggu, malah lebih banyak lagi,” kata Villegas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda