Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kehadiran beruang cetus ancaman bagi penduduk

    ROMANIA – Ia merupakan pemandangan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas. Seekor beruang coklat seolah-olah sedang tidur, dengan kepala di atas kakinya, di atas jalan hutan yang berliku di tengah Romania, dengan beberapa kertas tisu bersebelahan.

    “Ia menakjubkan,” kata Mike, seorang pelancong Israel berusia 72 tahun.

    “Saya fikir ia sudah mati.”

    Tetapi beruang itu hanya berehat selepas makan sandwic, salah satu daripada banyak makanan yang dilemparkan oleh pelancong yang mengembara ke Transylvania supaya mereka dapat menikmati percutian yang hebat.

    Di Romania, negara yang memiliki populasi beruang coklat terbesar di Eropah selepas Rusia, serangan beruang semakin meningkat ketika beruang itu keluar dari hutan untuk mencari makanan, yang seringkali dibawa oleh pelancong atau ditinggalkan dalam tong sampah yang tidak selamat.

    Seekor beruang makan sandwic yang dibaling oleh pemandu lalu merakamkan haiwan itu dengan telefon bimbitnya. – AFP
    Pengembala Translyvania, Kalaka Karoly yang baru-baru ini mengalami insiden dengan beruang. – AFP
    Seekor beruang meregangkan badannya di tengah jalan berhampiran Covasna, Romania, menunggu hidangan seterusnya. – AFP
    Seorang budak lelaki memberi makan anjing yang digunakan untuk melindungi lembu daripada serangan beruang berhampiran Lazaresti Romania. – AFP

    Permasalahan ini telah menyebabkan penternak dan petani berbalah dengan pihak pemuliharaan alam, dengan pihak berkuasa meningkatkan jumlah beruang yang boleh dibunuh pada tahun ini sebanyak 50 peratus kepada 220. Dan beberapa ahli parlimen mahukan jumlah itu digandakan.

    Mereka yang mendesak untuk kuota yang lebih tinggi menganggap beruang itu sebagai ancaman dan mendakwa jumlah haiwan itu semakin meningkat, dengan kementerian alam sekitar menganggarkan populasi beruang sebanyak 8,000.

    Tetapi para pakar membantah bahawa kaedah itu sudah lapuk dan tidak tepat digunakan untuk mengira spesies yang dilindungi oleh arahan EU untuk memastikan pemuliharaan haiwan itu.

    Keputusan bancian menggunakan DNA untuk memastikan bahawa beruang yang me-rayau tidak dikira beberapa kali masih belum selesai.

    Ahli pemuliharaan berpendapat adalah lebih baik menguruskan konflik manusia-beruang dengan lebih baik daripada membunuh haiwan tersebut.

    SAMA SEKALI TIDAK ROMANTIK

    Tetapi beberapa penduduk tempatan di Pergunungan Carpathian memberitahu AFP mereka terkejut dengan peningkatan kehadiran beruang.

    Sebanyak 14 orang maut dan 158 cedera dalam serangan antara 2016 dan 2021, menurut angka rasmi.

    Pengembala, Tibor Fekete, yang memelihara 70 ekor lembu di padang rumput gunung berhampiran jalan ke Tasik Saint Anne, mahu beruang ditembak.

    Dia berkata beruang itu telah membunuh tiga ekor lembunya tahun ini.

    “Beruang menyebabkan kerosakan dan mengancam nyawa kami,” kata lelaki berusia 40 tahun itu, yang mengadu tentang kos memelihara enam ekor anjing untuk melindungi kawanan lembunya.

    Bulan lalu seekor beruang juga memasuki halaman sekolah di Miercurea Ciuc, 30 kilometer jauhnya dan memanjat pokok.

    Pasukan intervensi membunuh haiwan itu daripada menghalau atau menenangkan haiwan itu, berkata mereka memastikan keselamatan lebih daripada 1,700 pelajar sekolah.

    Beruang masih boleh menyerang walaupun selepas ditembak dengan ubat penenang, kata Datuk Bandar Miercurea Ciuc, Attila Korodi, seorang menteri alam sekitar tiga kali dan penyokong pemusnahan yang lebih banyak.

    “Dan siapa yang akan bertanggungjawab apabila seseorang cedera?”

    Beliau berkata lebih banyak beruang telah dihalau keluar dari jalan-jalan bandar itu tahun ini berbanding tahun lalu.

    “Saya rasa Eropah melihat Romania bukan sahaja sebagai tempat perlindungan tetapi sebagai muzium di mana segala-galanya mesti kekal seperti sedia ada,” kata Korodi kepada AFP.

    “Kehidupan sehari-hari dengan beruang tidak romantis sama sekali,” katanya.

    Pemburuan trofi beruang telah dilarang di Romania sejak 2016 dan hanya kakitangan teknikal khusus yang dibenarkan menembak haiwan itu.

    Penggubal undang-undang, yang diketuai oleh Barna Tanczos – yang baru-baru ini menteri alam sekitar dan seorang lagi penyokong lain pemusnahan beruang – telah mengemukakan rang undang-undang untuk membenarkan pembunuhan hampir 500 ekor beruang setahun.

    Jika tidak, beruang akan berkeliaran di kawasan tanah rendah, seperti ibu kota Bucharest, dakwa Tanczos, atau mandi di Delta Danube.

    Dakwaannya diperdebatkan oleh pemuliharaan alam, yang mereka bimbang bahawa kuota yang semakin meningkat boleh membuka pintu kepada pemburuan trofi.

    Mereka mengatakan bahawa beruang yang tidak menyebabkan masalah juga ditembak.

    KOMUNITI BIJAK TENTANG BERUANG

    Tidak jauh dari Miercurea Ciuc, bandar pergunungan kecil yang popular, pelancong Baile Tusnad sedang cuba untuk menjadi komuniti yang bijak tentang beruang.

    “Kita mesti memahami bahawa beruang tidak akan hilang dari kawasan ini. Tetapi jika beruang itu tidak berasa selamat, ia tidak akan tinggal di bandar,” kata ahli bio-logi Istvan Imecs berusia 36 tahun kepada AFP.

    Beliau mengkritik pelancong sama ada dari luar negara atau Romania yang memberi makan beruang, yang adalah tindakan yang dilarang.

    Dengan nasihat daripada Imec dan kumpulan pemuliharaan seperti WWF, bandar ini sedang menguji bekas sampah yang tahan terhadap serangan beruang, dan telah memasang 400 pagar elektrik di sekeliling rumah dan tong sampah.

    Terdapat juga aplikasi yang menerangkan apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan konflik dengan haiwan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...