GENEVA, 10 OKT – Gelombang haba akan berlaku lebih ekstrem di beberapa kawasan tertentu di dunia dalam beberapa dekad ini sehingga kehidupan manusia di sana akan menjadi tidak mampan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah hari ini.
Gelombang haba diramalkan akan ‘melebihi had fisiologi dan sosial manusia’ di Sahel dikenali sebagai Horn of Africa, di selatan dan barat daya Asia, dengan kejadian ekstrem mencetuskan ‘penderitaan berskala besar dan kehilangan nyawa’, menurut organisasi tersebut.
Bencana gelombang haba tahun ini di negara-negara seperti Somalia dan Pakistan membayangkan masa depan kemanusiaan penuh kecemasan yang lebih dahsyat, kerap dan tegang, menurut laporan bersama organisasi itu.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) mengeluarkan laporan itu sebelum sidang kemuncak perubahan iklim COP27 PBB di Mesir bulan depan.
Mereka berkata langkah agresif perlu diambil segera untuk mengelakkan bencana haba yang berpotensi berulang, menyenaraikan langkah yang boleh mengurangkan kesan terburuk haba melampau.
“Terdapat had yang jelas di mana orang ramai yang terdedah kepada haba dan kelembapan melampau tidak dapat bertahan,” kata laporan itu.
“Kemungkinan juga terdapat tahap kepanasan terik yang mana masyarakat mungkin mendapati hampir mustahil untuk menyampaikan penyesuaian yang berkesan untuk semua.
“Berpandukan trajektori semasa, gelombang haba boleh memenuhi dan melebihi had fisiologi dan sosial ini dalam dekad akan datang, termasuk di kawasan seperti Sahel dan Asia Selatan dan barat daya.”
Ia memberi amaran kesannya boleh menyebabkan ‘penderitaan dan kehilangan nyawa berskala besar, pergerakan penduduk dan ketidaksamaan yang semakin berakar umbi’.
Kesan gabungan penuaan, pemanasan dan pembandaran akan menyebabkan peningkatan ketara dalam bilangan orang berisiko di negara membangun dalam dekad akan datang. – AFP
