Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejarlah Lailatulqadar!

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Pada 10 hari terakhir bulan Ramadan adalah termasuk hari-hari yang akan dikabulkan doa-doa kita kerana terdapat keistimewaan yang terkandung di dalamnya iaitu Lailatulqadar.

    Namun bilakah hari yang tepat terjadinya Lailatulqadar itu tidak dapat kita ketahui dan ia menjadi rahsia Allah SWT kerana ia begitu istimewa dan pasti ada hikmah di sebalik tersembunyinya Lailatulqadar.

    Sehubungan dengan itu, khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Lailatulqadar Malam Impian Umat Islam’ telah menyeru umat Islam untuk terus berlumba-lumba meningkatkan amal ibadat di sepanjang bulan Ramadan, bukannya hanya pada satu malam sahaja.

    Sekurang-kurangnya umat Islam akan banyak beribadat dan berbuat kebaikan pada 10 malam terakhir itu dengan harapan salah satunya terdapat Lailatulqadar, tambahnya.

    “Dalam hal ini sebahagian besar ulama berpendapat bahawa Lailatulqadar itu berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan di mana besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil iaitu sama ada pada malam ke-21, 23, 25, 27 atau pada malam ke-29,” jelas khatib.

    Khatib turut menambah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 5, malam Lailatulqadar itu mengandungi tiga kelebihan iaitu orang yang mengerjakan amal ibadat akan mendapat ganjaran pahala yang sangat besar lagi istimewa iaitu lebih baik daripada ibadat yang dikerjakan selama 1,000 bulan iaitu 83 tahun dan empat bulan.

    Ini bermakna umat Islam yang beribadat pada malam tersebut dan berhasil meraih ganjarannya, maka amalannya bernilai seperti ibadat yang dilakukan selama lebih 83 tahun dan empat bulan. Sementara itu, kelebihan yang kedua jelas khatib ialah pada malam tersebut, Jibrail AS bersama para malaikat yang lain akan turun ke bumi untuk memberi salam kepada orang-orang mukmin yang beribadat yang mana mereka itu akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Oleh itu, tingkatkanlah ibadat dengan penuh keikhlasan serta mengharap keredaan Allah SWT. Manakala kelebihan yang ketiga ialah malam tersebut penuh keberkatan hingga terbit fajar.

    “Dalam usaha kita untuk meraih Lailatulqadar, ada beberapa perkara yang kita digalakkan melakukannya, antaranya memperbanyakkan membaca Al-Quran, memahami serta beramal dengan isi kandungannya, menghidupkan malam dengan ibadat, khususnya sembahyang sunat dan memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT,” ujarnya.

    Khatib turut mengongsikan antara doa yang paling utama diucapkan pada Lailatulqadar adalah apa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada Aisyah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi bermaksudnya ‘Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, oleh itu maafkanlah aku’.

    “Pada 10 hari terakhir bulan Ramadan, umat Islam juga dianjurkan beriktikaf atau berdiam diri di masjid. Abu Hurairah RA mengatakan Rasulullah SAW akan beriktikaf pada setiap bulan Ramadan selama 10 hari, dan pada akhir hayat, Baginda melakukannya selama 20 hari,” tambah beliau.

    Oleh yang demikian, khatib turut menyeru umat Islam untuk mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam meningkatkan amal ibadat.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda