Oleh Lenna N.B.
DALAM mencapai kejayaan, guru adalah antara insan yang berjasa memberikan didikan ilmu, pengalaman dan pengetahuan, menjadikan siapa kitahari ini.
Tidak kira latar karier kita sama ada seorang doktor yang berusaha merawat pesakitnya, peguam yang menegakkan keadilan, polis yang menjaga keamanan, seorang atlet yang berjuang mengharumkan nama negara atau seorang usahawan yang berjaya membantu perkembangan ekonomi, semuanya telah dididik oleh insan bernama guru.
“Kerana seorang gurulah, kita menjadi orang yang berpendidikan dan berkemahiran. Tanpa mereka, tidak adalah tokoh-tokoh yang terbilang. Tidak adalah kita yang masing-masing berjaya dengan karier yang diceburi dan tanpa mereka, kita hanyalah manusia yang tidak tahu apa-apa,” ujar Pengurus Acara Ekspo Guruku Ciguku, Awang Mohamad Rakif bin Alis yang berlangsung baru-baru ini di Kompleks Membeli-belah Airport Mall.
Ekspo Guruku Ciguku
Ekspo Guruku Ciguku adalah ekspo yang pertama kali dikelolakan untuk meraikan guru-guru, anjuran Nurrakiff Rizq Management & Services. Tarikh 23 September cukup istimewa buat seluruh rakyat Brunei kerana tarikh tersebut diisytiharkan sebagai Hari Guru, khusus untuk menghargai jasa tenaga pendidik seluruh Brunei Darussalam.




Bersempena dengan Sambutan Hari Guru tersebut, Nurrakiff Rizq Management & Services mendapat inspirasi untuk menjayakan ekspo Guruku Ciguku, yang mengetengahkan pelbagai aktiviti bertemakan ‘Guru’.
Antaranya adalah ucapan penghargaan kepada guru-guru yang ditulis di atas kertas dan dilekatkan kepada permukaan papan hijau, hadiah pen-pen berwarna keemasan khas untuk para pengunjung yang bertugas sebagai guru, lebih 20 petak jualan khas untuk mereka yang ingin membeli hadiah untuk guru-guru, maskot daripada Syarikat Ugocosplayer dan Syarikat Help.bn yang menawarkan sesi bergambar percuma untuk guru-guru dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang menarik.
Ekspo Guruku Ciguku ini telah berlangsung sejak 25 September 2017 dan berakhir pada 1 Oktober.
Walaupun baru pertama kali ekspo berkongsepkan ‘guru’ ini diadakan, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan, di mana jelas menunjukkan sokongan mereka kepada tenaga pengajar.
Hadiah kecil untuk tenaga pendidik
Menurut Awang Mohamad Rakif, tujuan utama Ekspo Guruku Ciguku ini diadakan adalah untuk menghargai tenaga pendidik.
Tenaga pendidik yang dimaksudkan bukan sekadar guru di sekolah, tetapi juga guru kelas malam, guru bahagian seni seperti guru silat, guru tarian dan sebagainya, guru Al-Quran yang mengajar mengaji rumah ke rumah, guru di pusat-pusat swasta dan siapa sahaja insan yang bernama ‘guru’ atau ‘cikgu’.


“Kenapa guru? Pertama saya juga seorang guru, dan memang bercita-cita ingin menjadi guru, kedua, peranan besar guru kepada orang awam kerana seorang guru bukan sekadar memberikan ilmu atau kemahiran, tetapi juga mendidik dari segi tingkah laku, peribadi atau ringkasnya, soal akhlak. Ini kerana guru umpama ibu bapa yang berperanan dalam mencoretkan masa depan pelajar. Tanpa guru, saya mungkin tidak ada apa-apa. Oleh itu, ekspo ini umpama hadiah kecil untuk tenaga pendidik,” tambah Awang Mohamad Rakif.
Video ucapan khas untuk guru
Sebelum ekspo diadakan, kru Nurrakiff Rizq Management & Services juga sempat turun ke Bandarku Ceria, semata-mata ingin menghasilkan video ucapan khas untuk guru.
Mereka menemui orang awam, sama ada terdiri daripada keluarga, sekumpulan pelajar atau persatuan, untuk sama-sama mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ serta perhargaan kepada mereka yang bertugas sebagai pendidik.
“Kami pun tidak menyangka, ramai yang sama-sama menjayakan projek video ucapan khas untuk guru itu, menunjukkan betapa mereka yang bergelar guru itu sungguh istimewa.
“Melalui usaha ini, kami berharap dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan seorang guru, di samping membakar semangat para pendidik untuk terus berjasa kepada anak bangsa, walaupun kadang-kala tugas tersebut terlalu berat dan penuh cabaran,” jelas Awang Mohamad Rakif ikhlas.
Sehingga hari ini, lebih 40,000 orang telah menonton video ucapan itu dan selaku penjaya di sebalik video, mereka berharap ucapan-ucapan penghargaan tersebut disaksikan oleh insan-insan bergelar guru.


Nilai sentimental pada pen berwarna emas
Demi melambangkan nilai bakti seorang guru, pen-pen yang dihadiahkan kepada para pendidik sengaja direkabentuk dengan warna emas. Warna yang melambangkan nilai bakti seorang guru dan dicetak dengan ucapan ‘Selamat Hari Guru’.
Sejak hari pertama ekspo Guruku Ciguku itu, hampir 200 guru telah tampil dan mendapatkan pen istimewa tersebut.
“Setentunya ramai guru berasa sungguh gembira walaupun hadiah itu hanya sebatang pen. Bagi guru, pen adalah keperluan, biasanya digunakan untuk merancang pembelajaran, memeriksa kertas ujian dan sebagainya.
“Pen juga menjadi saksi atas jerih payah seorang guru. Alhamdullillah, setakat ini, hanya tinggal 100 lebih batang pen lagi menanti pemiliknya. Semoga pen-pen ini menjadi kenangan terindah buat para guru yang memilikinya.”
‘Terima Kasih Cikgu’
Selaku penganjur acara, Awang Mohamad Rakif berharap akan mengadakan acara yang sama pada tahun depan tetapi melibatkan lebih banyak aktiviti khas untuk guru-guru.
Baginya guru berperanan dalam mendidik anak bangsa, kerana perkembangan masa depan negara terletak di bahu mereka. Justeru itu, peranan guru amat besar kepada belia dan dari didikan mereka, lahirnya pemimpin-pemimpin dari pelbagai bidang.
“Guru dan pelajar sama-sama mempunyai peranan. Guru berperanan sebagai pendidik, ibu bapa dan contoh kepada pelajar. Sementara pelajar pula berperanan untuk bersedia menerima dan membentuk diri mereka ke arah kecemerlangan. Walaupun seorang guru itu agak tegas atau mungkin pemarah, mereka mahukan yang terbaik dari pelajar-pelajarnya.
“Sekali-sekala, janganlah kita lupa hargai mereka, dan ucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’, mungkin kita akan menceriakan hatinya yang lelah atau letih. Cikgu adalah sebahagian daripada coretan masa depan kita,” ucap Awang Mohamad Rakif di hujung temuramah.