Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keju cheddar bernilai AS$390,000 dicuri

    LONDON, 27 OKT – Pencuri yang bijak mengenal pasti keju berkualiti berjaya melakukan kecurian keju cheddar secara besar-besaran di London.

    Neal’s Yard Dairy memaklumkan bahawa seorang penipu yang menyamar sebagai pengedar borong untuk sebuah syarikat runcit utama dari Perancis telah melarikan 22 tan metrik cheddar yang memenangi anugerah bernilai AS$390,000 sebelum syarikat itu menyedari ia telah tertipu dan kecurian tersebut dilaporkan pada Isnin.

    “Nilai kewangan yang tinggi bagi keju ini berkemungkinan menjadikan sasaran khusus pencuri,” kata Neal’s Yard Dairy, yang merupakan sebuah syarikat pengedar, pemborong dan peruncit keju artisan British, dalam satu kenyataan.

    Pihak berkuasa Scotland Yard sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi memburu suspek yang terlibat.

    Hampir 1,000 roda keju dibalut kain daripada tiga pembuat telah hilang, antaranya Hafod Welsh cheddar organik, Westcombe cheddar dan Pitchfork cheddar.

    Syarikat itu menjual sebiji Hafod cheddar dengan harga AS$16.70 untuk 270 gram.

    Pengarah Westcombe Dairy, Tom Calver menyatakan banyak usaha telah dicurahkan dalam pembuatan keju yang berusia antara 12 hingga 18 bulan. “Kami sangat kecewa,” katanya.

    Neal’s Yard Dairy kini meminta penjual keju antarabangsa untuk membantu mengesan keju yang dicuri tersebut, terutama blok keju berukuran 10 kilogram dan 24 kilogram.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa ketiga-tiga pembuat keju tersebut telah dibayar penuh, sejajar dengan komitmen Neal’s Yard Dairy untuk menyokong perniagaan kecil dalam industri keju artisan British. – AP

    Gambar fail bertarikh 18 Februari 2008 menunjukkan Clothbound Cheddar di Concord, New Hampshire. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda