Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengekalkan kedudukan 150 teratas dalam 2022 Quacquarelli Symonds World University Rankings (QSWUR) by Subject.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, di sini, laporan itu mendedahkan bahawa mata pelajaran Kejuruteraan Petroleum UTB kekal berada di kedudukan Top 101-150 dan pada masa ini, berada di kedudukan ke-44 di Asia, ke-10 di Asia Tenggara dan mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terunggul bagi Kejuruteraan Petroleum di dalam negara.
Menurut laporan itu, untuk menghasilkan ranking berkenaan, lebih 14.7 juta kertas unik, mempunyai hampir 96 juta petikan dianalisis.
UTB telah dinilai dengan 1,543 institusi dikenali yang lain dari seluruh dunia bagi 51 mata pelajaran dalam lima bidang mata pelajaran luas yang menghasilkan lebih 17,700 penyertaan berperingkat keseluruhannya.
Kenyataan menyatakan bahawa angka itu mencerminkan skala besar di sebalik usaha yang dijalankan untuk menghasilkan ranking mata pelajaran berkenaan.

Pencapaian itu meletakkan UTB di kedudukan ke-10 di Asia Tenggara seiring National University of Singapore (NUS) di Singapura, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UCSI University di Malaysia, Bandung Institute of Technology (ITB) di Indonesia, Chulalongkorn University dan King Mongkut’s Institute of Technology Ladkrabang (KMITL) di Thailand serta Viet Nam National University Ho Chi Minh City (VNU-HCM) di Vietnam.
Universiti-universiti berprestij lain yang juga berkedudukan Top 150 termasuk Coventry University, Royal Holloway University of London dan University of Bradford di United Kingdom, Edith Cowan University di Australia serta Louisiana State University, Mississippi State University dan Missouri University of Science and Technology di Amerika Syarikat.
Kenyataan menjelaskan bahawa 2022 QSWUR by Subject telah dihasilkan menerusi pendekatan berubah-ubah di mana wajaran mata pelajaran yang berbeza telah dipastikan dengan empat faktor metrik iaitu kajian reputasi akademik universiti, reputasi majikan, petikan setiap kertas yang diterbitkan dalam tempoh lima tahun serta juga H-index, yang mengukur produktiviti dan impak petikan penerbitan akademik.
Berdasarkan kepada laporan itu, UTB dalam kedudukan tertinggi dalam petikannya dan telah memperbaiki markahnya dalam sukat-sukat lain yang diukur dari prestasinya pada tahun lalu.
Kenyataan memetik Ketua Program Kejuruteraan Kimia dan Petroleum di Fakulti Kejuruteraan UTB, Dr Mohammad Hazwan Azri menyatakan bahawa prestasi cemerlang universiti adalah disebabkan kerjasama kukuh universiti serta juga penyelidikannya dengan syarikat-syarikat minyak dan gas utama di Brunei.
Oleh itu, program Kejuruteraan Petroleum di UTB mengekalkan nilai mukanya dengan universiti-universiti global yang lain.
Beliau juga menyatakan kejayaan fakulti berkenaan kerana anggota staf yang berkeupayaan dan berkelayakan tinggi serta juga ahli akademik yang merupakan pakar yang berkompetensi tinggi dalam bidang masing-masing.
Menurut Dr Mohammad Hazwan lagi, ilmu pengetahuan mereka yang luas membantu memacu keupayaan penyelidikan dan akademik mereka ke arah standard bertaraf dunia.
Di samping itu, beliau berkata bahawa mereka mempunyai kakitangan yang kompeten serta pasukan pengurusan dalam UTB yang sentiasa menggalakkan mereka dalam berusaha dan memudahkan mereka untuk mencapai standard global itu.
Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Ir Dr Ramesh Singh menekankan lagi bahawa pendidikan kejuruteraan yang disediakan di UTB berada di kedudukan yang baik untuk mempersiapkan para graduan bagi menyelesaikan masalah kejuruteraan yang kompleks.
“Kami bekerja rapat dengan industri sebagai sebahagian daripada usaha peningkatan kualiti berterusan dalam program kami serta juga untuk memastikan pemenuhan sifat dan kecekapan profesional graduan yang ditetapkan oleh Washington Accord of the Internatonal Engineering Alliance (IEA),” ujarnya.
Manakala itu, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman merakamkan perasaan amat bersyukur dengan pencapaian universiti serta menyembahkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan berinspirasi Baginda dan sokongan berterusan kerajaan Baginda dan juga kerja keras semua pihak di universiti terutamanya Fakulti Kejuruteraan atas pencapaian itu.
Beliau menambah bahawa walaupun program Kejuruteraan Petroleum di UTB masih lagi agak muda, pencapaian itu merupakan bukti bagaimana pihak akademik melihat kepakaran mereka dalam bidang kejuruteraan petroleum.
Dengan peningkatan berterusan dalam ranking global di kalangan institusi pengajian tinggi serta juga reputasi yang amat dihormati, UTB meneruskan usahanya untuk mencapai kecemerlangan akademik supaya terus maju seiring dengan universiti-universiti berprestij lain di serata dunia.