Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekal anggun pada usia 100 tahun

    FUKUSHIMA, JEPUN – Jiran-jiran Tomoko Horino mengumpat apabila dia pertama kali keluar bekerja di Jepun pada tahun 1960an, tetapi kini, pada usia 100 tahun, penasihat kecantikan tertua di dunia itu berjaya juga akhirnya.

    “Ia adalah masa ketika wanita yang sudah berkahwin tinggal di rumah dan hanya menguruskan rumah tangga, tetapi saya terpaksa bekerja,” beritahu Horino kepada AFP selepas secara rasmi dinobatkan oleh Guinness World Records.

    Orang lain di bandar timur Fukushima melihat dia meninggalkan rumah dengan solekan lengkap dan menyangka dia bekerja di bar pelayan wanita.

    “Apakah jenis pelayan bar yang meninggalkan rumah semasa matahari terbit dan pulang ketika matahari terbenam?” dia ketawa.

    Dilahirkan pada 1923, tahun yang sama dengan Gempa Besar Kanto Jepun, Horino berkahwin dengan pegawai kerajaan tempatan dan dijangka menjadi suri rumah.

    Tomoko Horino bercakap semasa temu bual dengan AFP di rumahnya di bandar Fukushima. – AFP
    Horino (kiri) memperkenalkan produk kepada pelanggan Yuriko Abe di rumah Abe. – AFP
    Horino bekerja di pejabat di bandar Fukushima. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar Sijil Guinness World Record untuk Tomoko Horino semasa temu bual dengan AFP di rumahnya. – AFP
    Tomoko Horino bersolek di rumahnya sebelum pergi ke pejabat di bandar Fukushima. – AFP

    “Adalah satu kesilapan untuk berkahwin dengan suami saya,” katanya sambil mengenang lelaki yang tinggal bersamanya sehingga kematiannya 16 tahun lalu.

    “Dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat kaya dan tidak kisah tentang membelanjakan wang,” katanya. “Dia akan membawa rakan-rakannya keluar untuk makan dan minum pada hari dia mendapat gaji dan menghabiskan semuanya.”

    Untuk memenuhi keperluan semasa membesarkan tiga anak mereka, Horino akan bekerja sampingan memasang kotak hadiah.

    Pada usia 39 tahun, dia mula bekerja untuk syarikat kosmetik Pola, pergi dari rumah ke rumah dengan kasut tumit tinggi pilihan gaya yang dikekalkannya selama 41 tahun  menjual losen muka dan solekan sambil memberikan tip kecantikan kepada pelanggan.
    “Apabila suami saya memperoleh gaji 10,000 yen, saya mendapat tiga kali ganda lebih. Saya bekerja sangat keras,” katanya.

    Menurut Pola, jumlah pendapatan Horino telah berjumlah lebih daripada 125 juta yen (AS$835,000), dan dia masih mencapai matlamat jualannya.

    Penyertaan wanita dalam ekonomi ketiga terbesar di dunia itu telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Tetapi jurang gaji jantina kekal antara salah satu yang terbesar dalam kalangan ekonomi kaya, dan kaum lelaki masih mendominasi politik, perniagaan dan akademik.

    Jepun juga merupakan salah satu negara yang paling cepat menua di dunia, dengan kira-kira 90,000 orang berusia lebih 100 dan purata jangka hayat wanita diunjurkan mencecah 90 tahun menjelang 2050.

    Dengan populasi umur bekerja biasa yang semakin menguncup, orang tua digalakkan bekerja bagi mengisi jurang dalam pasaran buruh.

    Pola mempunyai hampir 250 penasihat kecantikan berumur 80 tahun atau lebih, termasuk empat orang yang berumur 100 tahun.

    Tetapi firma itu mencalonkan Horino untuk Guinness “kerana dia kekal paling aktif dalam berkomunikasi dengan pelanggan dan mengambil bahagian dalam sesi latihan untuk produk baharu”, beritahu jurucakap syarikat, Aya Katsuda kepada AFP.

    “Dia sungguh luar biasa.”

    Horino mempunyai rutin ketatnya sendiri untuk mengelakkan wajahnya daripada kedut.
    Setiap malam dia mandi, meregangkan anggota badan dan bahunya di dalam tab mandi panas, dan membersihkan mukanya dengan membilasnya sebanyak 20 kali.

    Ini diikuti dengan pelbagai losen, dua jenis pengisi kedutan, serum kecantikan, losen susu dan krim. “Saya memakai solekan setiap hari,” tambahnya.

    Dan untuk memastikan gurauannya kekal mengikuti perkembangan terkini, Horino menonton berita setiap malam, termasuk segmen sukan.

    “Saya perlu mengetahui pelbagai subjek. Saya perlu tahu tentang besbol supaya saya boleh bercakap mengenainya dengan orang yang suka besbol,” katanya.

    Terbaharu, dia melawat rumah pelanggan Yuriko Abe yang berusia 75 tahun dan mengesyorkan losen pelindung matahari untuk dipakai semasa berkebun.

    “Seronok rasanya melihat dia begitu ceria dan sihat,” kata Abe sambil menganggap penasihat kecantikannya sebagai ‘kakak’.

    Tetapi semakin sukar untuk Horino mengekalkan pelanggannya, tidak kira betapa gigihnya dia bekerja.

    “Ramai pelanggan baik saya telah meninggal dunia sekitar usia 80 tahun,” katanya.

    “Saya akan terus bekerja selagi hayat dikandung badan,” katanya, sambil menambah dia masih berasa teruja membantu orang ‘menjadi cantik dan menjadi lebih bahagia’.

    Tetapi kecantikan bukanlah segala-galanya, dan pada masa kini wanita yang pergi bekerja bukanlah sesuatu yang luar biasa berbanding ketika Horino mula bekerja.

    “Wanita dahulu hanya diberi jawatan pembantu di bawah lelaki,” katanya. “Sekarang wanita juga boleh menjadi presiden.

    “Dunia telah menjadi tempat yang lebih baik sekarang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda