KUALA LUMPUR – Pada usia 65 tahun, Michelle Wong dan suaminya, CS Khong membuktikan bahawa usia emas masih boleh kekal bertenaga, aktif dan penuh pengembaraan – meskipun diuji pelbagai cabaran hidup.
Wong, seorang penghidap kanser yang berjaya pulih sejak tahun 2007, masih ingat bagaimana diagnosis yang diterimanya ketika berusia 40an telah mengubah pandangannya terhadap kehidupan.
“Saya bertuah. Kanser itu dikesan awal dan saya memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan.
Tetapi selepas itu, saya tahu saya perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri,” katanya.
Ketika itu, ketiga-tiga anaknya masih kecil dan seperti kebanyakan ibu lain, beliau sering kali mengimbangi antara kerja dan urusan keluarga.
“Kanser itu menjadi peringatan kesedaran. Ia mengingatkan saya bahawa saya juga perlu menjaga diri sendiri,” tambahnya.
Insan yang memberikan sokongan sepanjang perjalanannya ialah suaminya, Khong, yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah.
Sejak hari pertama, beliau berada di sisi Wong – bukan hanya secara emosi, malah secara fizikal juga.
“Ada orang mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang buruk. Tapi saya lebih suka melihat dari sudut positif. Kanser itu dikesan sangat awal, dan segala-galanya berjalan dengan begitu lancar.
“Kami ambil banyak cuti pada tahun pertama itu dan mula melancong serta aktif bersama,” jelasnya.
SOKONGAN PENDORONG GAYA HIDUP AKTIF
Perjalanan mereka ke arah penuaan aktif bermula dengan sesuatu yang sederhana: menyertai kumpulan sokongan senaman untuk pesakit kanser dan penjaga di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Mohd
Nahar Azmi Mohamed, pakar perubatan sukan.
Sesi mingguan bersama Kumpulan Sokongan Senaman (ESG) itu merangkumi aerobik, Zumba, senaman ringan dan latihan rintangan ringan.
Namun lebih daripada senaman, semangat komuniti dalam ESG terus memberi impak besar kepada mereka.
“Ia telah menjadi rutin hari Sabtu kami. Profesor selalu ingatkan kami agar dengar pada isyarat badan. Itu banyak membantu mengelakkan kecederaan dan galakkan kami untuk bersenam mengikut kemampuan,” kata Wong.
Daripada pertemuan awal itu, sesuatu yang luar biasa berlaku. Pasangan itu mula menguji had diri – perlahan-lahan pada mulanya.
Kemudian, pada tahun 2017, mereka menyertai sekumpulan 40 pesakit kanser dan penjaga dalam satu lawatan ke Kota Kinabalu.
“Kira-kira 24 orang daripada kami cuba mendaki Gunung Kinabalu. Mich (nama panggilan Wong) sampai ke Laban Rata, dan itu sudah satu pencapaian hebat.
“Itu pendakian pertamanya. Dia tahu batas dirinya dan itu yang paling penting,” kata Khong.
Wong tidak berhenti di situ. Beliau terus berlatih dan bersenam, malah mengatur pendakian berkumpulan sendiri dan akhirnya berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu pada percubaan ketiganya pada tahun 2021. Ketika itu, aktiviti mendaki gunung telah menjadi minat bersama.
Wong dan Khong sentiasa menyedari kemampuan masing-masing. Mereka mendaki perlahan dan berhati-hati – bersama-sama.
Selepas itu, mereka menawan Gunung Hallasan di Pulau Jeju, Korea Selatan dan kemudian ke Kem Asas Annapurna (ABC) di Nepal – meredah perjalanan selama lima hari dan berjalan sehingga 24km sehari.
“Apabila kami sampai ke ABC pada tahun 2023, kesemua tujuh orang dalam kumpulan kami – empat daripadanya bekas pesakit kanser – menangis.
“Ia satu pencapaian besar,” kenang Wong. “Saya fikir, ‘Wow! Saya boleh buat ini. Kalau saya boleh buat ini, saya boleh lakukan lebih lagi.’”
Khong, yang sentiasa bertenaga, mencatatkan setiap pencapaian mereka dalam telefonnya.
“Pada hari itu – 13 Oktober 2023 – kami mencatat 33,468 langkah! Itu rekod satu hari tertinggi kami. Masih belum dipecahkan!” katanya dengan bangga.
TIDAK PERNAH LELAH
Pengembaraan mereka tidak terhenti di situ. Pada Mac tahun ini, mereka menamatkan satu lagi ekspedisi ke Lembah Langtang dan Kyanjin Gompa di Nepal.
Dan apabila tidak mendaki gunung, mereka menyertai maraton dan inisiatif komuniti seperti Maraton Kecergasan Warga Emas dan Walk-a-Breakfasthon.
Rutin mingguan mereka juga mengagumkan: berjalan pagi seawal 6:30 pagi di Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail; mendaki hujung minggu di Bukit Gasing, Petaling Jaya atau Bukit Wawasan, Puchong; dan menyertai sesi senaman di PPUM, sama ada hujan mahupun panas.
“Kami berlatih tiga atau empat kali seminggu. Ia memerlukan ketekunan dan dedikasi,” kata Wong.
Gaya hidup ini bukan sahaja untuk kekal cergas secara fizikal, tetapi juga untuk kesihatan mental dan hubungan sosial.
“Kami telah mengenali ramai kawan sepanjang perjalanan ini dan kami amat menghargai persahabatan yang dijalin,” ujar Khong.
“Ramai warga emas rasa terasing. Tapi kami dapati, menyertai kumpulan yang sesuai boleh mengubah segalanya.”
Bagi Khong, yang menganggap dirinya ‘muda di hati’, gaya hidup aktif ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup.
“Saya memang jenis yang aktif dan suka ambil tahu,” katanya sambil ketawa. “Kadang-kadang Mich kena tegur saya supaya jangan terlalu banyak berjanji.”
Namun di sebalik gurauannya, terserlah keazaman yang tinggi – bukan sahaja
terhadap kecergasan, tetapi juga terhadap isterinya.
“Kalau pasangan kita sakit, itu bukan alasan untuk berundur. Kita kena tampil ke hadapan. Itulah maksud sebenar ikatan perkahwinan, bukan?”
Kisah mereka adalah peringatan berinspirasi bahawa usia bukanlah penghalang.
“Kami bukan muda, tapi itu tidak bermakna kami harus berhenti. Usia bukan penghalang langsung.
“Apa yang penting adalah mula sahaja dulu. Lama-kelamaan, bila badan semakin kuat, kita boleh lakukan lebih banyak perkara, ikut rentak sendiri. Yang penting – nikmatinya,” kata Wong.
Khong menambah, “Jangan menyerah sebelum mencuba. Kita perlu beri peluang pada diri sendiri.”
Ketika mereka terus merancang pengembaraan baharu (sekurang-kurangnya satu setiap tahun!) dan menyokong warga emas lain melalui ESG, Amazing Seniors dan inisiatif lain, Wong dan Khong menjadi contoh bahawa tidak ada yang mustahil – tanpa mengira usia.
Nasihat mereka? “Mulakan dengan langkah kecil. Berjalan di taman. Laku senaman ringan. Asalkan mula. Faedahnya – fizikal, mental, emosi – semuanya berbaloi. Jaga diri dan kekal aktif!” – ANN/The Star