Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekasih lari, duit inda cukup

    Kepada sidang pengarang yang sudi mendengarkan luahan dan rintihan masyarakat dalam ruangan ini, saya cuma ingin meluahkan isi hati yang terpendam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Kadang-kadang, dalam hidup ini, kita diuji dengan cabaran yang mungkin sukar untuk difahami oleh orang lain.

    Saya rasa perlu meluahkan perasaan ini kerana ia adalah sesuatu yang sangat mendalam dan memerlukan pemahaman pihak pembaca atau pengarang untuk memberi beberapa pencerahan berupa kata-kata motivasi atau nasihat yang mungkin bermanfaat buat diri saya dan insan yang berdepan situasi sama yang bakal saya kongsikan ini.

    Sejujurnya, saya sendiri inda pernah menyangka bahawa hanya disebabkan masalah kewangan boleh menjejaskan hubungan saya dengan pasangan sebelum ani yang tidak kekal lama dan membuatkan diri saya ani berasa terbeban dan tertekan dalam mencari jodoh.

    Memang inda dinafikan yang kewangan bukanlah satu-satunya faktor dalam penentuan hubungan bersama pasangan, tetapi kadang-kadang, ia dapat merubah arah hidup dan keputusan yang kita buat.

    Gambar Freepik

    Saya berasa tertekan dan kecewa kerana keadaan kewangan saya tidak membenarkan saya untuk memberikan kehidupan yang saya impikan bersama pasangan atau keluarga yang bakal saya bina.

    Walaupun saya tahu cinta seharusnya tidak diukur dengan harta benda, namun realitinya kehidupan kita dasawarsa ani memerlukan kestabilan kewangan jua untuk memberikan keselesaan dan jaminan kepada pasangan hidup.

    Saya sering tertanya-tanya adakah saya boleh mencari jodoh yang sesuai dalam keadaan kewangan saya yang terhad.

    Memang bila difikirkan kembali, tidak adil rasanya untuk membawa seseorang masuk ke dalam kehidupan yang penuh dengan ketidakpastian.

    Bagaimana saya boleh memberikan kebahagiaan kepada orang lain jika saya sendiri berasa terperangkap dalam masalah kewangan?

    Terlebih lagi, rasa rendah diri dan ketidakpercayaan diri sering kali menghantui saya.

    Saya terfikir, adakah seseorang bersedia menerima saya seadanya dengan segala keterbatasan yang saya miliki? Adakah cinta sejati benar-benar dapat mengatasi semua cabaran, termasuk cabaran kewangan?

    Mungkin ada yang mengatakan bahawa cinta sejati akan mengatasi segala-galanya, tetapi bagi saya, perkara ini bukan hanya soal cinta. Ia sebetulnya lebih kepada soal tanggungjawab dalam menyediakan kehidupan yang stabil dan sejahtera kepada orang yang kitani sayang dan cintai.

    Kadang-kadang, keadaan memaksa diriku ini membuat pilihan yang sukar dan menyakitkan.

    Apa yang pasti saya hanya berharap bahawa suatu hari nanti, keadaan kewangan diriku ini akan berubah sekali gus dapat menemui seseorang yang memahami perjalanan hidup saya, InsyaAllah. Mungkin masa itu belum tiba, tetapi saya percaya setiap cabaran ada hikmahnya.

    Sementara itu, saya akan terus berusaha dan berdoa agar Allah membimbing saya ke jalan yang terbaik.

    Z.A. Amilin

    Nasihat Dang MP – 

    Terima kasih di atas perkongsian luahan saudara Z.A. Amilin. Setelah saya teliti dan fahami situasi yang dihadapi oleh saudara di atas, pada hemat saya berikut adalah beberapa bingkisan nasihat atau penyelesaian rasional yang mungkin dapat mengatasi masalah awda:

    1. Fokus pada pemulihan kewangan:

    Kenal pasti punca masalah kewangan awda.

    Tentukan langkah-langkah praktikal untuk menangani masalah kewangan, seperti merancang bajet dan matlamat kewangan bersama.

    2. Jujur dalam komunikasi:

    Berbual secara jujur dengan bakal pasangan awda tentang cabaran kewangan yang awda hadapi.

    Bina kefahaman bersama untuk saling menyokong dalam menghadapi cabaran ini.

    3. Atasi rasa rendah diri:

    Ingatkan diri tentang nilai dan kelebihan yang awda miliki sebagai individu.
    Tanam sikap positif terhadap diri sendiri.

    Cari sokongan daripada profesional atau keluarga untuk mengatasi perasaan rendah diri.

    4. Cari Sokongan Sosial:

    Sertai komuniti atau kumpulan yang boleh memberikan sokongan emosi dan berkongsi pengalaman serupa.

    Libatkan diri awda dalam aktiviti sosial yang boleh membantu mengurangkan tekanan.

    5. Bertawakal dan berdoa:

    Bertawakal kepada Allah dan berdoa agar diberi kekuatan menghadapi ujian dan mendapatkan penyelesaian yang terbaik.

    Teruskan berusaha sambil meletakkan keyakinan bahawa setiap ujian membawa hikmah.

    Perubahan memerlukan ketekunan dan usaha yang berterusan.

    Teruskan dengan keyakinan, berdoa dan tumpukan kepada pembinaan kewangan yang stabil serta perbaiki diri jika hendak menemukan pasangan yang disebut dalam Al-Quran sebagai Qurrota a’yun (penenang hati atau penyejuk mata). Insya-Allah, segala urusan awda akan dipermudahkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda