CARACAS, 28 Julai – Venezuela dijangka melihat persemukaan di jalan raya hari ini di antara pembantah anti-kerajaan dan anggota keselamatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan antarabangsa pada pergolakan yang bertambah teruk dan mendorong Amerika Syarikat mengarah keluarga kakitangan kedutaan keluar dari negara itu.
Pembangkang menggesa tunjuk perasaan baru di seluruh negara diadakan untuk mengingkari pengharaman kerajaan baru ke atas rapat sebelum pengundian kontroversi pada Ahad untuk memilih satu badan untuk menggubal semula perlembagaan.
Bantahan empat bulan ke atas Presiden Nicolas Maduro telahpun meragut 112 nyawa, menurut pendakwa, tujuh di antara mereka ketika mogok dua hari yang berakhir semalam.
Ketegangan telahpun meningkat akibat satu perintah daripada Maduro yang mengharam bantahan dan mengingatkan bahawa sesiapa yang berarak menentang ‘Perhimpunan Pengundi’ menghadapi risiko dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Gabungan pembangkang, Meja Bulat Perpaduan Demokratik, membalas di Twitter berkata “rejim mengisytiharkan kami tidak boleh mengadakan tunjuk perasaan. Kami akan bertindak balas dengan ‘Penaklukan Venezuela.’ Ia meminta bantahan besar-besaran diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Seluruh negara mesti memberitahu dunia bahawa Perhimpunan Pengundi tidak mempunyai kesahan,” kata penggubal undang-undang pembangkang Freddy Guevara pada persidangan akhbar.
Maduro membalas dengan menggesa pembangkang supaya meninggalkan jalan ke pemberontakan.
Beliau menggesa dialog diadakan dengan segera, tetapi memberi petunjuk beliau tidak akan mengalah.
Sebarang rundingan, kata beliau, harus berlaku sebelum pilihan raya dan penubuhan Perhimpunan Pengundi. – AFP