Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kekurangan ciri keselamatan punca 45 terkorban

    DHAKA, 1 MAC – Anggota bomba Bangladesh berkata hari ini bahawa kekurangan ciri keselamatan yang ketara bertanggungjawab terhadap kebakaran restoran di Dhaka yang mengorbankan 45 orang, dengan lebih banyak kematian berkemungkinan dicatatkan dalam kalangan mereka yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

    Kebakaran malam Khamis itu bermula di sebuah restoran beriani yang popular di bahagian bawah hartanah komersial tujuh tingkat di kawasan Bailey Road yang mewah di ibu negara.

    Keseluruhan bangunan, yang menempatkan beberapa restoran lain telah dijilat api yang mengambil masa dua jam untuk dikawal.

    Pengarah operasi bomba, Rezaul Karim memberitahu AFP bahawa kebakaran itu telah diburukkan lagi oleh banyak tong gas memasak yang disimpan secara sembarangan di ruang tangga dan dapur restoran.

    “Orang ramai mendengar letupan beberapa tong gas semasa kebakaran,” katanya.

    Anggota bomba membawa mangsa yang cedera semasa operasi menyelamat berikutan kebakaran di sebuah bangunan komersial yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang, di Dhaka pada 29 Februari. – AFP

    Main Uddin, ketua perkhidmatan bomba negara, berkata bahawa bangunan itu tidak mempunyai langkah keselamatan.

    “Ia tidak mempunyai sekurang-kurangnya dua tangga atau pintu kecemasan,” katanya kepada AFP. “Kebanyakan orang mati akibat sesak nafas.”

    Pegawai bomba sebelum ini memberitahu wartawan bahawa mereka mengesyaki kebakaran bermula apabila salah satu tong gas terbakar secara tidak sengaja.

    Inspektor polis, Bacchu Mia memberitahu AFP bahawa seorang lagi telah meninggal dunia pagi ini ketika dirawat di hospital.

    “Jumlah kematian kini 45. Keadaan 15 hingga 16 orang yang cedera adalah kritikal,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...