Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Myanmar kini mimpi ngeri ‘tidak berkesudahan’

    MYANMAR, 1 MAC – Tiga tahun pemerintahan tentera di Myanmar telah menimbulkan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan, menyebabkan orang ramai terperangkap dalam mimpi ngeri yang tidak berkesudahan ketika konflik merebak, kata ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Junta memusnahkan semua bentuk perbezaan pendapat dengan sewenang-wenangnya, kata Volker Turk kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, menggesa badan hak asasi PBB dan negara-negara untuk memberikan tumpuan kepada usaha mencegah kekejaman lanjut.

    “Situasi hak asasi manusia di Myanmar telah berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak berkesudahan, jauh daripada perhatian politik global,” kata Turk.

    “Konflik bersenjata telah meningkat dan merebak ke hampir setiap sudut negara. Tiga tahun pemerintahan tentera telah menyebabkan – dan akan terus menimbulkan – tahap penderitaan dan kekejaman yang tidak tertanggung kepada rakyat Myanmar.”

    Beliau berkata junta sedang menindas mana-mana pembangkang dengan ‘penyalahgunaan kuasa sepenuhnya’, manakala pembangunan di negara Asia Tenggara itu kini merosot.

    Junta mengambil alih tampuk pemerintahan dalam rampasan kuasa Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi, menamatkan percubaan selama 10 tahun dengan demokrasi dan menjerumuskan negara itu ke dalam pergolakan berdarah.

    Junta sedang berusaha untuk menghancurkan penentangan terhadap pemerintahannya oleh kumpulan pemberontak etnik yang telah lama ditubuhkan dan Angkatan Pertahanan Rakyat prodemokrasi yang lebih baharu.

    Turk memberitahu majlis itu bahawa sumber yang boleh dipercayai telah mengesahkan lebih 4,603 orang awam, termasuk 659 wanita dan 490 kanak-kanak, telah dibunuh oleh tentera sejak Februari 2021. “Jumlah sebenar hampir pasti lebih tinggi,” katanya. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...