Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelab Ragbi Cobra muktamadkan barisan pemain selepas Piala Agong berakhir

    PETALING JAYA, 9 OKT – Pasukan Kelab Ragbi Cobra hanya akan memuktamadkan barisan pemain terbaik untuk mewakili mereka pada Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (10s) 2024 selepas Kejohanan Ragbi Piala Agong 2024 berakhir pada 27 Oktober ini.

    Presiden Kelab Ragbi Cobra Darryll Sinnappa berkata setakat ini apa yang boleh dikongsi adalah jaguh ragbi negara, K Dinesvaran atau lebih dikenali sebagai Dugro berkemungkinan besar tidak dapat beraksi pada edisi kali ini kerana mengalami kecederaan.

    “Kita masih dalam proses pemilihan kerana Piala Agong masih berlangsung, jadi kita tak boleh nyatakan siapa yang akan bermain. Kita akan tengok siapa dipilih (berdasarkan prestasi terbaik) dan yang tidak cedera.

    “…mereka yang berjaya ke peringkat akhir akan kita pertimbangkan untuk dimasukkan dalam pasukan. Bagi pasukan Cobra, kita akan ada 16 pemain dengan 10 daripadanya adalah dari Malaysia dan selebihnya pemain antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Kejohanan Ragbi Cobra 10s 2024 di sini hari ini.

    Kelab Ragbi Cobra, salah satu kelab ragbi terkemuka di Malaysia, mengumumkan mereka akan menganjurkan Kejohanan Cobra 10s 2024 edisi ke-51 pada 2 dan 3 November ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.

    Kejohanan itu akan menyaksikan penyertaan 14 pasukan dari sembilan negara iaitu Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Papua New Guinea, Samoa, United Kingdom, Sri Lanka, Jepun dan Malaysia. – Bernama

    Darryll Sinnappa (tengah) selepas sidang media Kejohanan Ragbi Cobra 10s 2024. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda