TANAH MERAH, 4 JUN – Kelantan akan mencadangkan Jambatan Guillemard yang mula dibina pada tahun 1920 di Sungai Kusial, diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak sejarah warisan dunia.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Mohd Noor berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Jabatan Warisan Negara dalam masa terdekat.
Beliau berkata jambatan kereta api yang genap berusia 100 tahun pada Julai ini mempunyai nilai sejarah kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua.
“Jambatan berkenaan menjadi satu lokasi tarikan pelancongan di Kelantan dan bagi merealisasikan hasrat itu ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kamarudin berkata jambatan yang siap dibina pada tahun 1924 itu dimiliki oleh Perbadanan Aset Keretapi dan perlu mendapat kerjasama mereka untuk membenarkan jambatan itu dijadikan sebagai tapak warisan sejarah dunia.
“Sebelum diisytiharkan sebagai tapak warisan sejarah dunia, kita juga perlu meningkatkan infrastruktur di sekitar jambatan ini termasuk untuk sambutan 100 tahun usia jambatan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh, Bahari Mohd Noor berkata jambatan kereta api itu mempunyai sejarah yang unik.
“Jika kita sebut pelancongan berkonsepkan pantai, gunung, bukit dan pulau di semua tempat ada, namun jambatan ini hanya ada satu di Tanah Merah bahkan di Malaysia,” katanya. – Bernama
