Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluaran sektor makanan negara catat peningkatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Isu sekuriti makanan merupakan salah satu agenda yang penting sebagai perbincangan utama dan perlu ditangani segera yang mana ia bukan saja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global, termasuk di Negara Brunei Darussalam sendiri.

    Sejak tiga tahun kebelakangan, usaha-usaha dalam meningkatkan keluaran makanan dalam negara, khususnya daripada hasil keluaran pertanian, perikanan dan lain-lain produk pemprosesan makanan berasaskan pertanian dan perikanan, telah menghadapi pelbagai cabaran.

    Ini berikutan isu-isu global seperti penularan wabak COVID-19, konflik geopolitik dan situasi ekonomi tidak menentu, antaranya seperti isu kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos logistik dan pengangkutan, dan juga termasuk peningkatan kos bagi bahan input ladang, seperti baja, makanan ternakan dan lain-lain, yang kebanyakannya masih bergantung tinggi kepada import.

    Walau bagaimanapun, melalui perancangan dan perlaksanaan beberapa program dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan yang berkenaan di bawahnya, isu dan cabaran yang dihadapi itu telah dapat ditangani bersama.

    Ia juga dapat dicapai dengan komitmen serta kegigihan para pengusaha, peladang, petani, penternak dan nelayan yang berkenaan, juga melalui kerjasama dan berganding bahu bersama agensi-agensi serta lain-lain pihak yang berkenaan melalui pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam mukadimahnya pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan, prestasi keluaran daripada sektor makanan secara keseluruhannya, merangkumi keluaran daripada industri pertanian dan agrimakanan dan industri perikanan, telah mencatat peningkatan sekitar 3.13 peratus, daripada $781.26 juta (2021) kepada $805.75 juta (2022).

    “Secara amnya ia disumbangkan oleh peningkatan nilai keluaran dari industri pertanian dan agrimakanan sekitar 0.72 peratus iaitu daripada $590.31 juta (2021) kepada $594.54 juta (2022) dan industri perikanan sekitar 10.6 peratus, iaitu daripada $190.95 juta (2021) kepada $211.21 juta (2022),” ujar beliau.

    Selain itu, dari segi pencapaian sara diri bagi komoditi utama yang diberikan tumpuan, tambah beliau, negara telah berjaya mencapai 100 peratus sara diri dalam bekalan ayam
    pedaging dan telur ayam, dan 85 peratus sara diri bagi bekalan ikan.

    Manakala itu, bagi sayur tropika dan buah tropika, masing-masing mencapai sekitar 68 peratus dan 37 peratus sara diri, dan beras sekitar 8.4 peratus sara diri.

    Sehubungan itu, pihak kementerian berazam akan terus berusaha untuk meningkatkan keluaran komoditi-komoditi utama di bawah sektor pertanian dan perikanan ini bukan saja untuk memastikan bekalan makanan di negara ini adalah terjamin tetapi juga untuk menyumbang kepada peningkatan jumlah dan nilai eksport.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda