Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Keluarga harap Edrin selamat ditemukan

    MELAKA, 10 FEB – Abang kepada anggota komando, Lans Kopral Edrin Baintim yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan pada Rabu lepas, berharap usaha pencarian adiknya berhasil dan segera ditemukan dengan selamat.

    Andy Baintim, 28, berkata mereka sekeluarga amat mengharap agar adik bongsu daripada 10 beradik itu dapat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah memasuki hari keempat hari ini.

    “Saya mendapat mesej mengenai berita kehilangannya pada petang kejadian dan rasa terkejut seakan tidak percaya lalu meminta tolong daripada sepupu yang juga bertugas di Kem Iskandar, Mersing untuk mengesahkan perkara itu.

    “Ibu dan ayah sangat risaukan dia, namun kami sekeluarga masih tidak berputus asa dan terus berdoa agar adik kami dapat ditemukan dengan segera serta selamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Terdahulu, Andy dan keluarganya bertemu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang melakukan tinjauan pengoperasian SAR di Jeti Anjung Batu.

    Mengulas lanjut, anak kesembilan dalam keluarga itu berkata adiknya merupakan seorang anak yang baik dan amat mementingkan keluarga mereka yang tinggal di Kampung Tongod, Sabah.

    Katanya, hubungan dia dan Edrin sangat rapat dan jika mempunyai masa lapang adiknya juga akan menghubungi mereka menerusi panggilan video yang kali terakhir ialah sebelum menjalani kursus selaman pada awal bulan lepas. – Bernama

    Adly Zahari (dua, kiri) kelmarin ketika melakukan tinjauan di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando, L/Kpl Edrin Baintim, 25, yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...