PADARSHINGA, 25 NOV – Sebuah keluarga di India telah mencetuskan fenomena apabila mereka menganjurkan upacara pengebumian mewah untuk Suzuki Wagon R berusia 18 tahun milik mereka, yang dianggap membawa ‘tuah’ kepada keluarga itu. Upacara tersebut dihadiri lebih 1,500 orang, dengan perbelanjaan mencecah lebih AS$4,500.
Menurut OddityCentral, ketua keluarga, Sanjay Polara, berkata mereka memilih untuk mengebumikan kereta tersebut sebagai penghormatan atas jasanya selama hampir dua dekad, berbanding menghantarnya ke pusat kitar semula. “Kereta ini lebih daripada sekadar kenderaan; ia adalah sebahagian daripada perjalanan kejayaan keluarga kami. Daripada menjualnya, kami mahu memberikan kenangan abadi untuk generasi akan datang,” katanya.
Polara, yang menjalankan perniagaan pembinaan di Surat, juga memiliki beberapa kenderaan mewah seperti Audi. Namun, beliau menganggap Suzuki Wagon R itu sebagai simbol kejayaan dan tuah keluarga.
Sebagai sebahagian daripada majlis tersebut, sebuah lubang sedalam 15 kaki digali di kawasan kediaman mereka. Kereta itu diturunkan ke dalam lubang menggunakan jenkaut dan dihiasi dengan kalungan bunga, dilitupi kain hijau dan diiringi muzik daripada pembesar suara mudah alih. Pelbagai ritual turut dilaksanakan sebelum kereta itu ditanam menggunakan jentera penggali tanah.
Upacara itu juga melibatkan pembinaan sebuah samadhi (tugu peringatan) di lokasi pengebumian dan Polara merancang untuk menanam sebatang pokok di kawasan itu sebagai simbol kenangan bagi generasi seterusnya.
Fenomena itu bukanlah kali pertama berlaku. Pada 2017, seorang petani dari Uruguay, Alcides Ravel, turut mengebumikan Ford F-350 miliknya selepas 48 tahun berkhidmat. Bahkan, terdapat juga kes di mana individu mengebumikan saudara mereka bersama kenderaan kegemaran mereka. – Agensi