NEW DELHI, 2 OKT – Sebuah mahkamah di India telah mengarahkan polis supaya melindungi keluarga seorang wanita yang didakwa diperkosa dan dibunuh oleh empat lelaki kasta tinggi, tatkala abangnya berkata mereka bimbang tindakan balas berhubung tuduhan yang dikenakan oleh mereka.
Wanita berusia 19 tahun itu diserang pada pertengahan September dan meninggal dunia pada minggu ini, sekali gus mencetuskan kemarahan dan memberikan tumpuan sekali lagi pada keganasan seksual di India, terutamanya serangan ke atas wanita kasta lebih rendah.
Dengan kampung halamannya di utara negeri Uttar Pradesh dikepung oleh ratusan polis, abang mangsa semalam memberitahu televisyen India mereka berasa takut.
“Kami tidak selamat di kampung ini. Mereka boleh melakukan apa-apa kepada kami. Kami tidak percaya polis atau pentadbiran. Ketakutan kami telah meningkat sekarang,” katanya.
“Kami berada di bawah pengawasan mereka lebih-lebih lagi sekarang. Mereka tidak akan membiarkan kami hidup. Mungkin kami perlu meninggalkan kampung. Kami tidak mempercayai ahli politik.” – AFP
