Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Legasi Generasi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Seramai 23 orang belia yang menyertai program Kem Legasi Generasi (LGC), yang berlangsung tiga hari, telah diraikan pada majlis penutup dan penyampaian sijil yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pengasas Legasi Generasi, Awang Mohammad Haziq Nizar bin Ibrahim.
Perkhemahan itu merupakan sebuah program yang menerapkan aspek kerohanian dan menitikberatkan ilmu dari aspek sosial yang penting dipelajari seperti ilmu kekeluargaan, kesihatan mental dan pembangunan diri bagi menyediakan peserta dengan pemahaman dan kesedaran yang lebih mendalam tentang isu-isu berkenaan.
Ia juga diharap secara tidak langsung dapat menyumbang tenaga dalam melakukan intervensi terhadap isu-isu kesihatan mental di samping mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan belia di negara ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah peserta terbaik bagi lelaki iaitu Awang Muhammad Aizamuddin bin Haji Jufri sementara itu, Dayang Atikah Maisarah binti Mahdini menerima anugerah peserta terbaik bagi perempuan.



Manakala itu, Awang Mohammad Afiy Adrian bin Mohammad Zolrimi menerima anugerah Special Mention.
Awang Mohammad Aizamuddin menjelaskan bahawa program berkenaan sangat bermanfaat dan sangat digalakkan bagi belia-belia di luar sana yang ingin mempertingkatkan diri.
“LGC ini mengajar kitani bagaimana untuk memperbaiki masalah kesihatan mental yang sedang kita hadapi yang mengubah diri saya untuk menjadi versi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, bagi Dayang Atikah turut mengongsikan perasaan bangganya apabila dapat mengikuti kem tersebut di mana banyak benda baharu yang dipelajarinya dari sekecil-kecil perkara.
“Alhamdulillah, ilmu yang didapati sangat banyak. Selain itu, kem ini boleh mengajarkan kita rasa pentingnya kesihatan mental, self-development dan kekeluargaan,” tambahnya.
Legasi Generasi selaku penganjur program berkenaan mula ditubuhkan pada Mac 2021. Antara program yang telah dijalankan termasuk Mental Health: The Silent Battle (MHTSB); Reflection Upon Journey; Mental Health Awareness; Race for Awareness; Foreigner Aid; Resilient; dan Race for Awareness 2.0.
Antara matlamat Legasi Generasi dalam menjalankan program berkenaan adalah untuk membina generasi yang berkualiti dengan nilai akhlak yang tinggi dan seterusnya menangani stigma masyarakat dalam institusi kekeluargaan.

