Sunday, November 24, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Pertahanan imarah masjid di Temburong

    Oleh Syahmi Hassan

    TEMBURONG, 10 APRIL – Kementerian Pertahanan telah mengadakan kegiatan pengimarahan masjid di bawah Program Tahunan Ihya Ramadan dan Jangkauan Ramadan di Masjid Kampung Puni, Daerah Temburong kelmarin.

    Rombongan kementerian disertai oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; pemangku setiausaha tetap Kementerian Pertahanan; peringkat kepimpinan serta pegawai-pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB serta turut dihadiri para penghulu dan ketua kampung berdekatan.

    Majlis dianjurkan bersama oleh Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT) adalah sebahagian daripada siri aktiviti-aktiviti keagamaan di bawah Program Ihya dan Jangkauan Ramadan Kementerian Pertahanan yang bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan penduduk kampung dan masyarakat setempat, di samping meraih manfaat dan pahala yang berlipat ganda pada bulan Ramadan.

    Di Masjid Kampung Puni, program diisikan dengan sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah serta tadarus Al-Quran dan diakhiri dengan penyampaian infak termasuk Mushaf Al-Quran Jubli Intan ABDB kepada jawatankuasa takmir masjid.

    Terdahulu, pada hari yang sama, rombongan kementerian juga singgah di Masjid Kampung Pintu Malim dan Surau Al-Quwwah, Perkhemahan Bangar di mana mereka menunaikan sembahyang fardu Asar berjemaah, bertadarus Al-Quran, menyampaikan mushaf kepada jawatankuasa takmir masjid.

    Di Surau Al-Quwwah, rombongan membaca Surah Yasin dan bertahlil serta berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah bersama para penghulu dan ketua kampung serta para jemputan.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa majlis keagamaan di Masjid Kampung Puni. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda