Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Pertahanan, Pendidikan johan dikir

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kumpulan Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Kementerian Pendidikan masing-masing diumumkan sebagai johan kategori lelaki dan perempuan Pertandingan Dikir Brunei Peringkat Akhir bagi Pegawai dan Kakitangan Kementerian-kementerian, pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung hari ini, di Dewan Serba guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Pemenang tempat kedua bagi kedua-dua kategori ialah Kumpulan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan tempat ketiga bagi lelaki, Kumpulan Jabatan Perdana Menteri sementara kategori perempuan ialah Kumpulan Kementerian Pertahanan.

    Pertandingan diadakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1446H/2024M, anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah, bersama ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

    Di samping itu, Dikir Brunei adalah sebagai salah satu dikir yang telah diamalkan sejak zaman berzaman. Seni dikir itu perlu dipraktikkan dan dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan hadiah kepada Kumpulan Kementerian Pertahanan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Johan kategori perempuan pertandingan Dikir Brunei menerima hadiah daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Dengan menguasai kemahiran berdikir, terutama lagu-lagu Dikir Brunei, masyarakat Islam dapat berperanan dalam mengekalkan Dikir Brunei tersebut, memandangkan ramai pendikir yang masih kurang kemampuan dalam menyampaikan lagu-lagu tersebut.

    Antara lain tujuan pertandingan itu adalah untuk melahirkan pegawai-pegawai dan kakitangan di kementerian-kementerian serta AJKT masjid yang mahir melagukan lagu-lagu Dikir Brunei dan Dikir Syarafil Annam, sekali gus mengetahui cara alunan dikir dengan betul tanpa melakukan kesilapan.

    Selain itu, ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri para peserta bagi menyertai pelbagai pertandingan dikir yang akan diadakan pada masa hadapan.

    Dengan adanya pertandingan seumpama itu akan dapat memeriahkan dan menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi SAW melalui acara-acara keagamaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda