Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemas kini caj perkhidmatan EES disambut baik

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Caj perkhidmatan bagi Sistem Keluar dan Masuk (EES) yang dikemas kini telah pun bermula pada 12 Disember lalu di mana caj berkenaan hanya dikenakan ke atas setiap kenderaan sahaja dan bukan setiap individu.

    Dengan pengemaskinian berkenaan, rata-rata rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melahirkan rasa berpuas hati dan gembira terutamanya kepada mereka yang berkeluarga besar dan berpendapatan rendah yang hendak melancong atau mengunjungi keluarga di negara jiran menggunakan kenderaan.

    “Peniadaan caj bagi setiap orang ini sangat meringankan beban untuk mereka yang berkeluarga, tambahan lagi jika keluarga itu mempunyai jumlah ahli yang ramai,” kongsi salah seorang rakyat Brunei, Haji Hassan bin Haji Mudin, 63 tahun.

    “Kita boleh bayangkan jika sesebuah keluarga itu mempunyai 10 ahli, untuk pergi dan balik mereka perlu membayar jumlah keseluruhan $60,” ujarnya, sambil menambah, $60 adalah jumlah yang besar bagi mereka yang berpendapatan rendah.

    “Alhamdulillah, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduknya,” tambah beliau.

    Sementara itu, Awang Khairul, 37, pula berpendapat bahawa EES yang baru dikemas kini itu jelas sangat membantu sesebuah keluarga melancong ke luar negara dengan pengurangan jumlah bayaran yang perlu dibuat.

    “Saya juga berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam membuat perubahan mengenai perkara ini,” tambah beliau yang ketika ini sedang melancong di Kota Kinabalu, Sabah.

    Beliau pasti ia membantu ramai orang lain terutamanya mereka yang melawat saudara-mara di luar negara seperti di Miri, Lawas, Sipitang dan Kota Kinabalu, mendapat manfaat daripada perubahan dalam pembayaran tersebut.

    Bagi Dayang Hafsah, 42, yang mempunyai lima orang anak, “Kami tidak mampu untuk membawa keluarga melancong menggunakan kapal terbang, hanya dengan melancong ke negara jiran menggunakan kenderaan sahaja. Dengan adanya perubahan ini, tambahan lagi diumumkan tepat pada musim cuti persekolahan, ia adalah berita yang sangat menggembirakan buat kami sebagai ibu bapa,” ujarnya.

    Haji Hassan semasa ditemu bual.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda