Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Penduduk Brunei mengambil kesempatan sempena cuti penggal persekolahan dan bonus hujung tahun untuk melancong ke Miri, Sarawak, telah menyebabkan kesesakan di sempadan.
Tinjauan Media Permata hari ini menyaksikan barisan panjang kereta yang hendak pulang ke Brunei bermula dari Tol Jambatan ASEAN Miri sehingga ke tempat pemeriksaan sempadan.
Seorang pesara kakitangan awam, Pengiran Hajah Hadijah binti Pengiran Haji Besar, 63, berkata beliau mula bergerak ke Brunei pukul 7 pagi dan keadaan masih lenggang dan urusan di pos kawalan imigresen berjalan lancar.
Manakala, salah seorang warganegara tempatan, Awang Azahari bin Sulaiman berkata, pada pukul 3:27 petang, barisan sudah mula panjang sehingga melepasi Tol Miri.
Ditanya mengenai hajat beliau ke Miri, beliau berkata disebabkan mata wang tempatan berada sekitar RM3.19 hingga RM3.20 berbanding $1, ramai penduduk Brunei membeli-belah atau mengambil peluang bercuti bersama keluarga di seberang sempadan.
“Rakyat Brunei dilihat membeli peralatan sekolah bagi penggal baharu serta menikmati hidangan di seberang sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pengiran Hajah Hadijah ketika dihubungi berkata, “Kami tidak kisah mengharungi perjalanan jauh untuk pergi ke Miri, kerana kami mahu menikmati
percutian bersama ahli keluarga di sana.
“Kami akan berkongsi penginapan di sebuah hotel selama satu malam sekali gus meraikan tahun baharu di Miri,” katanya.
Seorang pelancong kerap, yang tidak mahu dikenali pula berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat rakyat Brunei berjalan bersama beberapa buah troli di kawasan-kawasan seperti Imperial Mall, Parkson, dan banyak lagi terutamanya bagi membeli barangan runcit dan keperluan harian lain.
“Tetapi pada masa yang sama, mereka juga patut berbelanja dengan berhemat,” tambahnya.
Seorang penduduk di Skim Perumahan Negara Lambak Kanan menambah bahawa sebelum hujung tahun, pasar raya-pasar raya di Brunei terasa agak meriah dengan menawarkan harga-harga menarik.
Namun, sejak menjelang tahun baharu dan bonus bagi mereka yang menerimanya, kedai membeli-belah lain merasakan kelembapan perniagaan susulan ramai yang menyeberang sempadan.
Walau bagaimanapun, tinjauan media di beberapa buah restoran di sekitar Gadong dan Jerudong pada petang tadi menyaksikan ramai orang terutamanya keluarga-keluarga menikmati hidangan.