NEW DELHI, 2 JULAI – India muncul negara ketiga yang melepasi 400,000 kematian akibat COVID-19 hari ini, ketika program vaksinasi di negara itu bergerak perlahan.
Kementerian Kesihatan berkata 400,312 kematian yang direkodkan meletakkan negara itu di tempat ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dengan 620,645 kematian dan Brazil (520,189 kematian) manakala jangkitan menghampiri 30.5 juta kes.
Namun, ramai pakar mengesyaki jumlah kematian sebenar India sudah melebihi sejuta, selepas lonjakan besar kes yang menyebabkan hospital beroperasi melebihi keupayaan pada April dan Mei lalu. Lonjakan akibat varian Delta itu dan sikap berpuas hati kerajaan selepas Perdana Menteri, Narendra Modi, mengisytiharkan kemenangan melawan koronavirus Januari lalu juga disifatkan sebagai antara punca.
Sejak itu, jumlah kes harian menurun secara ketara dan banyak sekatan kegiatan dilonggarkan, menimbulkan kebimbangan lonjakan baharu dalam beberapa bulan akan datang.
Kerajaan menyasarkan pemberian vaksin kepada 1.1 juta penduduk dewasa di negara itu tahun ini, bagaimanapun kerana kekurangan, kekeliruan pentadbiran dan keraguan, hanya hampir lima peratus menerima dua dos setakat ini.
Pada 21 Jun lalu, kerajaan berusaha memulakan pemberian vaksin percuma bagi golongan dewasa, menyebabkan lonjakan permintaan dengan lebih sembilan juta suntikan diberi sehari. – AFP
