Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Pusat Perkhidmatan Setempat dan Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan telah dirasmikan pada majlis yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini.
Majlis kendalian Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kementerian Pendidikan itu menyaksikan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh (gambar).
Pusat Perkhidmatan Setempat Kementerian Pendidikan telah mula beroperasi pada 1 September lalu di mana ia merupakan pusat tumpuan untuk orang ramai termasuk warga Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan perkhidmatan berkaunter bagi urusan di bawah kementerian tersebut.
Antara jabatan yang terlibat adalah Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta, Jabatan Pengurusan Pendidik, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Jabatan Sekolah-sekolah serta Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Pelan Transformasi Digital yang bermatlamat untuk meningkatkan dan memperluaskan kesedaran pihak yang berkepentingan dan juga orang ramai mengenai hala tuju Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan inisiatif digital bagi mendukung hasrat Pelan
Induk Ekonomi Digital 2025 untuk merealisasikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara pintar selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Di bawah pelan tersebut, beberapa inisiatif digital Kementerian Pendidikan telah dikenal pasti bagi mendorong transformasi dalam penyampaian pendidikan supaya lebih berkesan serta dapat meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi melalui tiga bidang fokus utama.





