Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Tenaga, jabatan dan badan-badan berkanun di bawahnya juga mengadakan majlis ibadah korban bagi menyemarakkan lagi suasana Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah/ 2021 Masihi dengan majlis pengagihan daging korban berlangsung di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, hari ini, majlis yang dianjurkan bersama oleh Bahagian Tenaga Lestari dan Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam itu dihadiri oleh Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan takbir yang dipimpin oleh pegawai dari Kementerian Tenaga, Awang Muhammad Nazirul Rawi bin Awang Zaimin.
Majlis kemudiannya diikuti dengan pengagihan daging-daging korban kepada seramai 120 orang penerima yang juga termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga, asnaf dan keluarga yang memerlukan di sekitar Mukim Berakas B.
