DAWKAH, OMAN – Lembah gersang Dawkah menempatkan salah satu sumber paling berharga di Oman. Ia bukan minyak atau gas, tetapi pokok kemenyan, yang getah harumannya telah dituai sejak ribuan tahun oleh penduduk tempatan yang menggelarnya sebagai ‘emas putih’.
Terletak di wilayah Dhofar, selatan Oman yang bersempadan dengan Yaman, lembah itu merupakan kawasan simpanan terbesar seumpamanya di dunia, mempunyai kira-kira 5,000 pokok kemenyan yang tumbuh di tanah tandus, batangnya mengeluarkan biji resin dengan aroma kayu yang tersendiri.
“Bagi kami, kemenyan lebih berharga daripada emas. Ia adalah harta,” kata Abdullah Jaddad, seorang pengetik kemenyan yang sedang berehat di bawah teduhan pokok.
Minyak yang diekstrak daripada getah pokok kemenyan digunakan dalam minyak wangi dan penjagaan kulit, namun ia juga dijual dalam bentuk manik pepejal harum di pasaran tempatan.
Pengeluar minyak wangi mewah Oman, Amouage, yang menguruskan kawasan simpanan tersebut, menjual wangian mewah mereka ke peringkat antarabangsa dengan harga ratusan dolar sebotol, dengan salah satu edisi terhad berasaskan kemenyan mencecah hampir AS$2,000.



Lembah Dawkah adalah antara lokasi jarang di dunia yang menempatkan pokok Boswellia, sumber resin kemenyan.
Sejak tahun 2000, kawasan itu telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah senarai Land of Frankincense bersama Khor Rori, Al Baleed dan Shisr.
Dengan aroma bumi yang unik, kemenyan sejak dahulu digunakan sebagai dupa, ubat tradisional, malah dalam upacara keagamaan.
Sebelum wujudnya teknologi moden, perdagangan kemenyan yang bermula sejak milenium ketiga Sebelum Masihi, berkembang dari Dhofar melalui laluan laut dan kafilah ke Mesopotamia, Lembah Indus dan Mesir Purba, hingga ke Yunani, Rom, malah China.
“Kemenyan ketika itu mempunyai nilai hampir sama dengan minyak pada hari ini,” kata Ahmed al-Murshidi, ketua tapak Khor Rori.
Pelabuhan purba Samahram, sebahagian daripada tapak Khor Rori, menjadi pintu keluar kemenyan ke seluruh dunia.
Sambil mengutip manik getah kering dari pokok, Jaddad memberitahu AFP bahawa jenis kemenyan yang terdapat di lembah itu ialah Najdi iaitu salah satu daripada empat jenis utama.
Varieti Najdi dan Hojari digunakan untuk tujuan perubatan, menurut Faisal Hussein Bin Askar, anak kepada pengasas kedai kemenyan Bin Askar yang beroperasi sejak 1950an.
“Semakin bersih dan asli kemenyan itu, semakin sesuai diminum sebagai rawatan, manakala selebihnya digunakan sebagai dupa,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa kilang di Dhofar khusus dalam produk penjagaan kulit dan minyak berasaskan kemenyan.
Kemenyan gred tertinggi dan paling jarang memiliki warna hijau muda.
Resin dituai secara manual menggunakan kaedah tradisional dengan membuat torehan pada kulit pokok untuk mengeluarkan getah, kemudian dibiarkan beberapa hari sehingga mengeras.
Proses menuai ini memerlukan kemahiran dan ketelitian.
Seorang pemandu pelancong di Muzium Land of Frankincense di Salalah menggambarkan, “Pokok kemenyan mudah ‘marah’.”
“Kami menoreh pokok pada bahagian tertentu, kecil dan kira-kira lima kali sahaja, untuk melindungi pokok,” kata Musallam bin Saeed Jaddad, yang bekerja di kawasan simpanan itu.
“Tidak boleh sewenang-wenangnya menoreh kulit pokok kemenyan, ia boleh membunuhnya,” tegasnya.
Pada 2022, Amouage bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk membangunkan kawasan simpanan Dawkah dan menyediakan pekerjaan kepada komuniti tempatan, dengan hanya menuai daripada satu perlima pokok bagi tujuan pemeliharaan.
Setiap pokok diberikan kod unik dan dipantau oleh pasukan pakar, dengan sumbangan dibuka kepada orang ramai yang ingin menyokong pemeliharaan itu sebagai pertukaran hadiah kecil produk kemenyan setiap tahun.
Sebuah kilang penyulingan bakal dibina di kawasan simpanan untuk mengekstrak minyak kemenyan, proses yang buat masa ini dilakukan di Perancis, kata penyelia kawasan simpanan, Mohammed Faraj Istanbuli.
“Kerajaan sedang melaksanakan projek penting, seperti pembinaan jalan raya, yang boleh mengancam kawasan lain tempat pokok kemenyan tumbuh,” katanya.
“Kami membawa pokok-pokok itu ke dalam kawasan simpanan. Setakat ini, kami
telah menyelamatkan kira-kira 600 pokok.” – AFP

