Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Sambutan Hari Raya tahun ini semakin meriah berbanding tahun lepas yang diwarnai dengan penularan wabak COVID. Pada tahun lalu, keluarga hanya berada di rumah dan tidak keluar rumah melainkan berkunjung ke rumah keluarga yang terdekat sahaja, dan hubungan silaturahim antara sahabat dan keluarga terasa sedikit berkurangan.
Namun, pada tahun ini, kemeriahan Hari Raya sudah kembali dirasai secara penuh, dengan golongan kanak-kanak dan remaja bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pakaian baru.
Beberapa rumah juga kelihatan melakukan kerja-kerja membersihkan rumah, memasang lampu cucul baharu agar rumah nampak bergaya dan meriah serta menghiasi ruang bilik tamu dengan mengatur kerusi meja dengan kemas dan menghiasi langsir dengan cantik.
Sehubungan itu, pihak Media Permata turut menemu bual seorang pensyarah di Universiti Brunei Darussalam, Dr Najib Noorashid yang berkongsi pengalamannya, “Syukur Alhamdulillah, pengalaman bulan Ramadan kali ini agak berbeza kerana saya sudah memulakan perkhidmatan.
“Oleh itu, setiap pembahagian masa, tumpuan dan tenaga sama ada dalam aspek peribadi dan profesion perlu dijaga sebaiknya. Sebulan berpuasa juga memberikan saya ruang untuk muhasabah diri, mendekatkan diri dengan amalan dan perihal yang baik, serta berhubung dengan sanak-saudara dan teman-teman.

“Saya juga gembira melihat keadaan masyarakat dan negara serta sambutan bulan Ramadan yang kembali kepada keadaan sebelumnya, jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya ketika kita menghadapi musibah pandemik COVID,” jelasnya.
“Insya-Allah, saya percaya sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah kerana kita boleh saling berkunjung dan menjalin silaturrahim seperti sedia kala. Syukur Alhamdulillah, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada keluarga, sanak saudara, teman-teman sekerja dan keseluruhan warga Brunei yang meraikan hari kemenangan bagi umat Islam ini,” tambahnya.
Sementara itu, Pengiran Hajah Hadijah binti Pengiran Haji Besar, berkongsi pengalamannya pada waktu zaman dahulu bersama anak-anak pada malam raya.
Beliau akan membawa anak-anak untuk melihat wayang untuk menyaksikan filem melayu.
Ramai juga para ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk bergambar ramai bersama keluarga di kedai-kedai gambar berdekatan bagi memotret kenangan bersama.
Walaupun zaman sekarang memasuki zaman moden, namun lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri lama tetap meriah berkumandang di sana sini melalui corong radio seperti lagu Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma, Manusia miskin kaya nyanyian Nona Asiah, Di Hari Raya nyanyian P.Ramlee dan lain-lain. Juga didendangkan lagu-lagu raya daripada bintang Indonesia, S.Affandy.
Seterusnya, Haji Suhaili juga turut mengongsikan pengalaman beliau pada bulan Ramadan yang mulia.
Beliau berkata, “Melihat situasi kehidupan semasa bulan Ramadan sepanjang pasca pandemik COVID sehingga kepada endemik dan sekarang sudah hampir keseluruhan tatacara sekatan kawalan pergerakkan telah ditiadakan.
“Tahun ini adalah dikirakan tahun yang menampakkan tahap ambang normalisasi yang amat ketara yang sewajarnya dihargai dan diambil iktibar serta pengajaran atas segala kesukaran dan kekhawatiran yang menggerunkan kehidupan sejak awal penghujung tahun 2019 yang lalu sebagai wadah motivasi dan peningkatan kehidupan yang lebih bersih, berdisiplin dan beretika dengan gaya hidup masyarakat seharian yang sihat serta sejahtera,” jelasnya.
“Seterusnya tentang Aidilfitri, turut dilihat para ibu bapa juga membuat persiapan akhir Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, “Memang kemeriahannya telah kembali semula seperti dahulu, kita mendengar lagu raya di merata tempat, rumah dihiasi dengan lampu warna-warni, kedai baju dipenuhi pelanggan, tempahan kek semakin bertambah dan banyak lagi.
“Namun harus diingat bahawa risiko jangkitan COVID masih lagi menjadi ancaman global yang belum waktunya untuk kita ambil remeh apatah lagi bagi mereka yang sedang dilanda demam selesma atau yang sedang mengalami peningkatan suhu badan yang berisiko dan memudaratkan. Ubaya-ubaya hendaknya agar kita tetap bersama-sama merayakan Aidilfitri ditahun ini dengan lebih waspada agar kita semua tetap mampu meraikannya dalam suasana aman, bahagia dan sihat bersama orang-orang yang kita sayangi,” kongsinya.