Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kempen beriga keselamatan di stesen minyak

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Berikutan dengan pelancaran kempen ‘Isi Selamat, Rasa Selamat’ oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) pada 24 Ogos lalu, beberapa tema telah pun dilancarkan iaitu ‘Perlindungan Juara Servis’ pada minggu keduanya minggu lepas, dan juga ‘Tarik Keluar Nozzle dan Pembayaran selepas Pengisian Bahan Api’ bagi minggu ketiganya, kelmarin.

    Kempen tersebut merupakan siri keempat diadakan oleh BSM sejak ia kali pertama dilancarkan pada tahun 2014.

    Dalam temu bual dengan salah seorang Juara Servis di Stesen Minyak Negalang Maju Sdn Bhd kelmarin, Dayang Siti Norpinah binti Zakir menjelaskan mengenai objektif kempen tersebut iaitu untuk memaklumkan kepada pelanggan dan orang ramai tentang keselamatan semasa berada di stesen minyak.

    “Beberapa perkara yang kami beritahu pelanggan adalah untuk mematikan enjin kereta mereka semasa mengisi minyak, dan kami hanya akan menerima bayaran apabila pengisian minyak selesai,” kata Dayang Siti Norpinah.

    Hasil daripada kempen tersebut, Juara Servis itu berkata ramai pelanggan mematuhi apa yang telah diarahkan. Bagaimanapun, sekiranya masih ada pelanggan yang enggan mengikut arahan, Dayang Siti Norpinah berkata mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjelaskan mengapa mereka perlu mematuhi peraturan tersebut.

    Hajah Noridah menjelaskan tentang kempen keselamatan di stesen minyak semasa ditemui Media Permata.
    Dayang Siti Norpinah semasa ditemu bual media. – Gambar oleh Izah Azahari

    “Cabarannya memang sama untuk semua Juara Servis apabila berdepan pelanggan dengan pelbagai perangai. Ada kalanya, ada pelanggan yang tidak memahami peraturan, tetapi kami melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka faham,” tambahnya. Beliau juga menjelaskan bahawa BSM telah menjalankan latihan untuk Juara Servis, menyediakan poster, kempen dan seumpamanya.

    “Walaupun kempen ini dijalankan minggu ke minggu, kami akan terus mengamalkannya dalam aktiviti harian kami di stesen minyak,” kata Dayang Siti Norpinah lagi.

    Pada 31 Ogos lalu, semasa lawatan media ke Stesen Minyak Kampung Buang Sakar, Penyelia dan Duta HFFE, Hajah Noridah binti Abu Bakar mengongsikan bahawa stesen minyak mereka adalah satu-satunya stesen minyak yang beroperasi di perairan Sungai Brunei dengan kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di kawasan Kampong Ayer, para nelayan dan para penambang dan beberapa pelanggan yang tinggal berdekatan kawasan tersebut.

    “Untuk kempen keselamatan ‘Isi Selamat, Rasa Selamat’ ini, kami menitikberatkan tentang keselamatan untuk para pelanggan kami ketika mereka berada di stesen kami. Mereka kebanyakannya membeli menggunakan jerry can, oleh itu kami menitikberatkan tentang jenis bekas yang boleh dan tidak boleh digunakan.” Ketika pelanggan datang ke stesen mereka, Hajah Noridah menjelaskan bahawa pelanggan akan naik untuk mengisi borang pembelian. “Selepas itu, kami akan memastikan mereka membawa jerry can yang diluluskan. Setelah itu, barulah kami akan mengisinya dan pihak Juara Servis akan menghantarnya ke perahu mereka,” tambahnya.

    Beliau juga mengongsikan bahawa sebelum stesen mereka beroperasi, mereka akan memastikan keadaan sekeliling berada dalam keadaan yang selamat dan segala produk yang dijual tidak mengandungi air.

    Kempen itu diadakan selama empat minggu, dengan setiap minggu memfokuskan pada tema berbeza berdasarkan insiden biasa yang berlaku di stesen runcit Shell. Lawatan bersama ke stesen runcit Shell terpilih akan dijalankan antara BSM, Autoriti Petroleum (PA), Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) untuk berkomunikasi dengan peruncit dan orang ramai mengenai objektif dan tujuan kempen.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan juara servis jika mereka tidak pasti tentang mana-mana amalan keselamatan di stesen runcit

    Shell dan ikuti akaun Instagram dan Facebook rasmi BSM @bruneishellmarketing atau layari laman web BSM di www.bsm.com.bn untuk garis panduan keselamatan terkini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...