Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kempen Derma Darah Kebangsaan dapat sambutan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BELAIT, 13 MAC – Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-38 tahun ini, Kempen Derma Darah Kebangsaan akan diadakan di keempat-empat daerah mengikut kementerian-kementerian yang melaksanakannya.

    Bagi Daerah Belait, Kempen Derma Darah Kebangsaan Semarak Hari Kebangsaan dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Pandan Kuala Belait sebagai pengelola, yang berlangsung selama dua hari iaitu 12 dan 14 Mac.

    Hari pertama kempen berkenaan, kelmarin, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

    Para penderma terdiri daripada warga kerja perkhidmatan awam dan swasta pasukan-pasukan beruniform, persatuan-persatuan belia, persatuan sukan, sukarelawan, penduduk mukim dan kampung serta orang persendirian yang sama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat dalam membantu menyelamatkan nyawa.

    Pada tahun ini, kempen derma darah berbeza sedikit berbanding sebelumnya dengan beberapa peraturan yang mesti dipatuhi bagi penderma-penderma dalam Fasa Awal Endemik ini.

    Antara yang menderma darah semasa kempen yang diadakan di Daerah Belait. – Gambar oleh Daniel Lim

    Antaranya, penderma hendaklah sekurang-kurangnya lengkap menerima dua dos vaksin di samping mempunyai kod BruHealth berwarna hijau.

    Pihak penganjur dan petugas sentiasa memantau supaya penderma-penderma mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang dikuatkuasakan iaitu pengimbasan kod QR, pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan membuat ujian pantas antigen (ART) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Antara lain objektif kempen adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang boleh menyelamatkan banyak nyawa dan membantu pihak Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menambah lagi stok darah yang ada pada masa ini.

    Selain itu, ia juga bertujuan bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua aspek dan pengendalian kerja-kerja sosial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...