Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 OKT – Sebanyak 42 pain darah dikumpulkan dalam kempen derma darah yang dianjurkan oleh Persatuan Malayali (MA) di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, baru-baru ini.
Lebih 57 peserta mendaftar dalam kempen tersebut namun hanya 42 orang sahaja yang layak menderma darah.
Persatuan berkata kempen itu bertujuan untuk menyokong dan menambah bekalan stok darah serta memastikan tabung darah mempunyai kumpulan darah yang mencukupi, terutamanya semasa kecemasan.
Selain itu, kempen juga menekankan kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada ahli jawatankuasa MA, komuniti India, komuniti tempatan Brunei dan warga asing. Hamper hadiah telah diberikan kepada semua penderma pada kempen tersebut.
MA ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Awang Shuf bin Haji Mohd Ghani kerana telah tampil menderma darah untuk kali ke-104 di Brunei. Beliau meluahkan hasrat untuk menderma darah selagi mampu pada tahun-tahun akan datang.
