Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen derma darah terus giat dilaksanakan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Dengan baucar $5 sebagai penggalak untuk menyokong kempen derma darah anjuran Pusat Membeli-belah OneCity pada tahun ini, menjadi permulaan untuk Dayang Sabrina binti Rahim, 23, bagi terus memberi sokongan dengan menyertai mana-mana kempen yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

    Ketika ditemui pada hari kedua kempen derma darah hari ini, beliau menjelaskan bahawa penyertaan kali ini adalah yang kelima setelah kali pertama pada kempen anjuran syarikat tempatnya bekerja.

    Walaupun beliau berhasrat untuk menderma setiap dua bulan sekali tetapi doktor menyarankannya untuk menderma setiap tiga bulan sekali atas sebab hemoglobinnya yang rendah.

    Bagi memastikan pendermaan darah dapat dilakukan seperti yang disarankan, pengambilan makanan seperti kekacang dan makanan yang mengandungi zat besi akan diutamakan untuk memastikan darah yang akan didermakan mencukupi dan tidak menjejaskan kesihatannya.

    Sementara itu, seorang lagi penderma darah yang ditemui, Awang Khalidi bin Haji Masri, 59, mengongsikan bahawa beliau mula bergiat aktif menyertai kempen derma darah pada tahun 80an dengan kali pertama di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha selain pernah menerima pingat perak atas sokongan berterusan dalam kempen berkenaan.

    Antara penderma darah yang mengikuti kempen berkenaan.

    Menurutnya, menderma derma menjadi aktiviti beliau sebelum ini, tetapi disebabkan faktor kesihatan dan terpaksa memakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital telah menyebabkan aktiviti berkenaan terpaksa dihentikan buat seketika.

    “Penyertaan dalam kempen hari ini adalah yang pertama dilakukan setelah berehat panjang,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan, walaupun pada awalnya kurang yakin untuk menderma darah disebabkan pengambilan ubat, tetapi setelah melakukan pemeriksaan kesihatan, hasrat untuk menderma darah tercapai dan berjalan dengan lancar.

    Selepas ini, beliau berhasrat un-tuk kembali aktif menderma darah seperti sebelum ini sebagai salah satu cara membantu orang ramai yang memerlukan.

    Manakala itu, bagi Haji Mohd Zainul Hasramin bin Haji Mohd Hassan, 45, penyertaan beliau dalam kempen berkenaan merupakan kali ke-24 sejak 2000 yang mana kali pertama dibuat di luar negara.

    Beliau turut mengongsikan pengalaman selepas menderma darah, yang mana katanya badan terasa segar dan ringan.

    Menurutnya, kepentingan untuk menderma darah bukan saja dari segi kesihatan tetapi secara tidak langsung dapat membantu pihak yang memerlukan darah terutama pada masa kecemasan.

    Hari kedua kempen di pusat membeli-belah berkenaan telah berjaya mengumpul sebanyak 27 pain darah.

    Dalam pada itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai kempen seterusnya yang akan diadakan di Aras Bawah, Kompleks Membeli-belah Mid Valley, Kampung Salambigar esok, dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda