Saturday, February 1, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen Hari Bertindak dilancarkan di seluruh negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Majlis Pelancaran dan Penghargaan Kempen Hari Bertindak sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 telah disempurnkan pagi tadi oleh tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Turut hadir menyertai aktiviti Kempen Hari Bertindak (DOA) di Daerah Brunei dan Muara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin; Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin; dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi, selaku pengerusi bersama majlis.

    “Hari Sukarelawan Antarabangsa lazimnya disambut pada setiap 5 Disember di seluruh dunia. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah turut serta meraikannya, sejak tahun 2012,” katanya.

    Bertemakan If Everyone Did, Kerja Sukarela, Andai Semua Orang Melakukannya, kempen ini memberikan isyarat bahawa tindakan secara kolektif dari semua peringkat masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelawan mampu memberikan impak yang lebih luas dan mampan khususnya dalam pembangunan masyarakat, bangsa dan negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi mengikuti salah satu aktiviti yang diadakan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Pengiran Azaleen menyampaikan penghargaan kepada antara penerima Trailblazers dan Highflyers aplikasi Mengalinga 2022/2023. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    DOA adalah merupakan salah satu inisiatif berterusan KKBS, melalui Jabatan Belia dan Sukan, dalam rangka meraikan Hari Sukarelawan Antarabangsa. Ia mula diungkayahkan pada tahun 2015 dan bertujuan untuk mengalakkan lagi penglibatan secara aktif semua lapisan masyarakat dalam kerja-kerja sukarela.

    Antara pengisian dalam kempen tahun ini ialah Festival Sukarelawan yang telah bermula 6 Disember hingga hari ini di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Dayang Zainab juga menyentuh mengenai penyampaian penghargaan kepada lima Trailblazers dan lima Highflyers aplikasi Mengalinga 2022/2023; Penyampaian sijil kepada para peserta Program Sukarelawan ASEAN 2023; Penyampaian sijil penghargaan kepada penaja-penaja Kempen Hari Bertindak 2023; Perlepasan Konvoi Vespa Menghantar Barang-barang Bantuan; dan lawatan serta menyertai aktiviti-aktiviti sukarela.

    Penyampaian penghargaan kepada lima Trailblazers dan lima Highflyers aplikasi Mengalinga 2022/2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

    Di Daerah Temburong, aktiviti DOA bermula di Dewan Kemasyarakatan Belalong. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Acara dimulakan dengan sesi senamrobik diikuti dengan aktiviti menanam anak pokok.

    Tetamu kehormat dan rombongan juga mengunjungi Bengkel plikasi Mengalinga yang diadakan secara maya sebelum meneruskan aktiviti kempen kebersihan di kawasan Masjid Utama Mohammad Salleh, Bangar, diikuti dengan aktiviti membersihkan tanah perkuburan Semamang, Temburong dan diakhiri dengan aktiviti membersihkan Masjid Batu Apoi.

    Manakala di Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Belait pula, tetamu kehormat iaitu Pemangku Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail telah menyaksikan Klinik Belajar Violin daripada KD & Arts Academy dan aktiviti asas anyaman bakul daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) Melilas.

    Tetamu kehormat dan rombongan juga menyaksikan bengkel aplikasi Mengalinga secara maya sebelum beredar ke Dewan Bahasa dan Pustaka Kampung Pandan bagi menyaksikan seminar dan bengkel pembentukan jaringan dan peluang perniagaan bagi pengusaha-pengusaha tempatan di Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Persatuan Perempuan (PKP) Daerah Belait dan MPK Pekan Kuala Belait.

    Setelah itu, tetamu kehormat dan rombongan menuju ke Kompleks Sukan Mumong bagi menyaksikan beberapa aktiviti yang diadakan di sana iaitu latihan renang kanak-kanak yang dikendalikan oleh KBPiranha Swimming Team, aktiviti program Grassroot Coaching and Mini Grassroot Tournament yang dikendalikan oleh HAWA Academy di bawah gabungan Pertubuhan Bola Sepak Daerah Belait, aktiviti Workout for Health daripada Mayhem Gym, serta demonstrasi persilatan daripada Pertubuhan Seni Warisan Pelangi Negara Brunei Darussalam yang merupakan aktiviti akhir DOA di Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda